PENGENDALI Kelantan FC, Marko Ragini menyifatkan kekalahan tipis 0-1 di tangan Sarawak United pada aksi Liga Premier di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini kelmarin sebagai satu perkara yang kecewa namun menggembirakan.
Ragini berkata, meskipun kekalahan itu amat pedih untuk ditelan, dia tetap gembira dengan aksi yang diperagakan oleh tonggak The Red Warriors (TRW).
Menurutnya, barisan pemain Kelantan telah menunjukkan corak permainan yang semakin baik pada setiap perlawanan.
“Saya optimis jika pemain meneruskan rentak ini, tidak mustahil kita akan berada di landasan terbaik untuk menjadi pasukan kuat nanti,” katanya.
Pada aksi itu, rembatan jarak jauh pemain tengah Sarawak United, Lee Chang-hoon pada minit ke-39 sudah cukup buat skuad Kenyalang Emas untuk menumbangkan Kelantan FC 1-0.
Jaringan itu hasil hantaran pendek Sandro Da Silva Mendonca yang dimanfaatkan oleh Chang-Hoon untuk menewaskan Mohd. Faridzuean Kamarudin di pintu gol tuan rumah.
Mengulas lanjut, Ragini memberitahu, dia berterima kasih kepada barisan pemain yang telah memberikan aksi terbaik dalam perlawanan itu.
Katanya, beraksi dalam jadual padat perlawanan memberikan kesan kepada aksi pemain, namun itu bukan satu alasan untuk tidak beraksi cemerlang.
“Saya harap pemain terus kekal fokus untuk perlawanan berikutnya bagi memastikan sasaran pasukan mampu dicapai,” ujarnya.