JAKARTA – Sebuah gerai soto di Dusun Boloh, Jawa Tengah tular apabila menjual hidangan itu dengan harga 1,000 rupiah (30sen) semangkuk dengan teh ais percuma.
Menurut laporan Tribunnews semalam, pemilik gerai bernama Sri Wahyuni akan menjual soto 30 sen sebagai niat bersedekah kepada pelanggan yang datang.
“Saya niat ingin bersedekah, dahulu saya sering sedekahkan hidangan ini di masjid.
“Sekarang, sudah ada gerai jadi saya mulakan jualan soto 30 sen,” katanya kepada Kompas TV.
Tambah wanita yang mesra disapa Yuni itu, gerai sotonya baru sahaja mula berniaga sejak sebulan lalu namun sering dipenuhi pelanggan.
Jika pelanggan datang pada hari Jumaat, Yuni akan memberikan tambahan isian sehingga lima mangkuk seorang dengan harga sama dengan syarat perlu makan di kedai.
“Bagi pelanggan yang datang pada hari Jumaat, boleh menambah soto dengan percuma cuma perlu makan di kedai.
“Bayaran bagi isian tambahan adalah doa-doa yang ikhlas,” ujarnya. -Agensi