GUA MUSANG – Seorang ibu bertindak nekad dengan melempar tiga orang anaknya keluar dari tingkap rumah demi menyelamatkan nyawa mereka dalam kejadian kebakaran di rumah keluarga mentuanya di Kampung Batu Lima di sini hari ini.
Kejadian pada pukul 1.30 petang itu menyebabkan Rohani Awang, 25, melecur pada bahagian lengan kanan akibat disambar api manakala anak keduanya, Mohd. Syafiq Haikal Azmi, 3, patah tangan kiri selepas dicampak keluar dari tingkap setinggi kira-kira dua meter.
Bagaimanapun, dua lagi anaknya, Wan Syed Ali, 7, dan Suhada, 2, tidak mengalami sebarang kejadian kecederaan.
Menceritakan detik sebelum kejadian, dia sedang tidur bersama tiga orang anaknya itu di dalam sebuah bilik di rumah mereka, manakala suami, Azmi Abdul Wahab, 44, bersama bapa mentua, Saifuddin Abdullah,51, dan ibu mentua, Saadah Deraman, 65, pergi ke rumah ahli keluarga di Kampung Limau Kasturi.
Ujarnya, ketika sedang tidur, dia terhidu bau asap sebelum mendengar jeritan anaknya mengatakan terdapat api di bahagian ruang tamu rumah.
“Saya terkejut apabila tiba-tiba melihat api sudah merebak ke bahagian pintu bilik. Keadaan itu menyebabkan saya mengambil keputusan untuk melempar ketiga-tiga anak keluar tingkap sebagai usaha terakhir untuk menyelamatkan mereka.
“Keadaan ketika itu amat getir dan saya tidak boleh berfikir jalan lain lagi. Saya terpaksa mencampak mereka kerana mahu ketiga-tiga anak selamat dalam kejadian itu,” katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Gua Musang di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Mohd. Arifuddin Akif Mohd. Noor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.51 petang tadi
Beliau berkata, sembilan anggota bersama dua jentera bergegas ke lokasi dan mendapati api marak sedang membakar rumah itu.
Punca kejadian dan kerugian yang dialami mangsa masih dalam siasatan.-K! ONLINE