fbpx

Hakim dengar kes kurang pengalaman – Peguam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Najib (tengah) tiba di perkarangan mahkamah bagi mendengar rayuan sabitan dan hukuman penjara terhadap beliau berhubung penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Rayuan, Putrajaya di sini, hari ini.-Foto FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Pihak pembelaan dalam perbicaraan Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. berjumlah RM42 juta memberitahu Mahkamah Rayuan di sini, hari ini bahawa Hakim Mahkamah Tinggi yang mendengar kes itu kurang pengalaman luas dalam kes-kes jenayah.

Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai barisan peguam bela selaku perayu berkata, kes seumpama itu sepatutnya diadili oleh hakim yang berpengalaman luas membabitkan prosiding jenayah.

Katanya, ia sama seperti kes-kes berprofil tinggi terdahulu antaranya kes rasuah bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Harun Idris pada 1977 dan kes liwat serta penyalahgunaan kuasa pada 1999 membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kedua-dua kes itu mempunyai Hakim berpengalaman dan ini perlu kerana Hakim Mohd. Nazlan (Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali) membuat ‘kesilapan’ dalam kes SRC International. Berdasarkan pengalaman saya sebagai peguam dan bekas timbalan pendakwa raya, lebih 40 tahun, kes-kes jenayah yang rumit sering didengar oleh Hakim yang berpengalaman,” katanya.

Peguam itu berkata demkian pada hari pertama rayuan Najib terhadap sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dikenakan selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana syarikat SRC International Sdn. Bhd. berjumlah RM42 juta.

Rayuan tersebut didengar oleh panel tiga hakim yang diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil yang bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

Dalam pada itu, Muhammad Shafee, turut mengatakan pada prosiding peringkat bela diri yang dibuat Najib, ia didakwa dilakukan dalam keadaan `buta’ kerana berdasarkan isu yang disentuh dalam keputusan prima facie namun sabitan terhadap dikatakan berdasarkan dapatan yang berbeza.

Ujar peguam itu, perbezaan tersebut telah menyebabkan pembelaan yang sewajarnya tidak dapat dilakukan dan bertentangan dengan prinsip perbicaraan yang adil.

“Pembelaan memulakan bela diri berdasarkan apa yang telah diputuskan oleh Hakim Bicara (Hakim Mohd. Nazlan) di akhir kes pendakwaan. Dapatan yang dibuat pada peringkat prima facie adalah isu yang perlu dijawab atau disangkal oleh Datuk Seri Najib ,” hujah peguam itu lagi.

Tambahnya, sebarang pertambahan dapatan atau perubahan terhadap keputusan yang dibuat ketika memanggil Najib untuk membela diri adalah bertentangan dengan tanggapan bahawa Hakim telah membuat penilaian maksimum.

Hujahan rayuan bersambung lagi esok.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI