SEMBANG KORPORAT
Idea membangunkan perniagaan GOGOPASAR telah berjaya direalisasikan sebaik sahaja Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac 2020.
Pengasas syarikat, Lynn Alias melihat ini peluang keemasan untuk membantu rakyat yang terpaksa berada di rumah.
Sistem e-dagang GOGOPASAR mendapat sambutan baik dan Lynn terpaksa menyingsing lengan turun padang bersama kakitangannya membungkus barangan dan pelbagai lagi untuk menyiapkan tempahan pelanggan.
“Saya seperti ‘robot bernyawa’ yang mana pada waktu malam perlu berada di pasar dan pada waktu siang berada di pejabat untuk uruskan perniagaan.
“Akibat terlalu sibuk dengan makanan laut, tidur malam pun boleh termimpikan udang, sotong dan ikan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Bangsar, Kuala Lumpur
baru-baru ini.
Berkat usaha Lynn yang memiliki 25 tahun pengalaman dalam pelbagai bidang perniagaan dan kejayaannya yang telah membangunkan sistem e-dagang GOGOPASAR, FGV Holdings Bhd. (FGV) telah berminat untuk menjadikannya sebagai syarikat pemula niaga pertama di bawah kumpulan berkenaan.
Kosmo!: Dari mana datang idea untuk membangunkan perniagaan GOGOPASAR?
Sebelum ini, apabila balik ke rumah arwah emak saya, dia akan menghidangkan masakan makanan laut yang dibeli dari pasar segar, rasanya sedap dan berbeza dengan makanan laut yang dibeli di pasar raya biasa. Jadi dari situ, saya mula kaji potensi perniagaan dan timbul minat untuk lebih serius menerokanya.
Kebetulan saya berjumpa dengan seorang rakan yang terlibat dalam bidang pemborongan makanan laut lantas mengajak saya berkunjung ke Pasar Besar Selayang.
Saya makin teruja dan melihat ini satu bisnes yang menarik kerana dapat menjual barangan segar terus kepada pelanggan.
Pada suku ketiga tahun 2019, saya mula membuat kertas kerja, mencari kumpulan pekerja dan pada pada bulan Februari, 2020 saya mendaftarkan syarikat perniagaan.
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pada pertengahan bulan Mac 2020, apa berlaku pada operasi perniagaan yang baru sahaja bermula itu?
Dalam proses persediaan memulakan operasi perniagaan, kami telah melantik GOGOPREUNERS. Ketika itu, saya memiliki sembilan orang GOGOPREUNERS dan memulakan sesi latihan serta memberi penerangan tentang operasi syarikat. GOGOPREUNERS bertindak sebagai penjual (reseller), pemasaran dan juga perkhidmatan pelanggan.
Latihan diadakan sehari dua sebelum PKP dikuatkuasakan dan saya melihat ini adalah masa terbaik untuk kami teruskan perniagaan sebab ramai orang memerlukan barangan segar dan juga barang dapur untuk dihantar ke rumah pelanggan masing-masing sebab mereka tidak boleh keluar rumah. Jadi di situlah GOGOPASAR bermula.
Apa yang GOGOPASAR lakukan selepas itu?
Sepanjang dua bulan PKP dilaksanakan, kami begitu sibuk menerima tempahan daripada pelanggan. Waktu malam kami berada di Pasar Borong Selayang untuk menyiapkan tempahan dengan membungkus dan pelbagai lagi.
Waktu siang pula saya berada di pejabat menyiapkan urusan pentadbiran perniagaan yang baru bermula. Saya tidak nyenyak, kadang-kadang hampir tidak tidur seharian sehingga mimpipun dibayangi dengan makanan laut setiap hari.
Apakah peranan FGV dalam GOGOPASAR?
Pada peringkat awal, kami telah menerima pelawaan daripada FGV untuk membentangkan cadangan pembangunan GOGOPASAR.
Memandangkan ia masih dalam tempoh PKP, cadangan dilakukan secara online dan kami telah berjaya mendapat keyakinan dan sokongan yang baik daripada pihak FGV melalui anak syarikatnya, FGV Integrated Farming Holdings Sdn. Bhd. dan ini menjadikan kami sebagai syarikat pemula niaga pertama bagi FGV.
FGV adalah pemain utama dalam bidang pertanian dan kumpulan telah membangunkan sayap perniagaan baharu untuk keluarkan produk agro, oleh itu, GOGOPASAR bertindak sebagai sayap dalam rangkaian pemasaran Kumpulan. Selain itu, FGV juga memiliki projek perladangan kontrak untuk tanaman nanas dan pisang serta pelbagai barangan kering di bawah jenama Saji serta produk berasaskan susu.
Bagaimana untuk menyertai GOGOPREUNERS dan modal yang diperlukan?
GOGOPREUNERS berkongsi pelbagai promosi jualan dari ibu pejabat untuk disebarkan kepada komuniti masyarakat di kawasannya. Modal yang diperlukan adalah sebanyak RM5,000 dan usahawan akan dibekalkan dengan peti penyejuk dan kit perniagaan.
Peti penyejuk itu dijadikan sebagai pusat transit yang mana barangan segar yang ditempah pelanggan disimpan di situ sementara menunggu penghantar datang mengambil barangan dan menghantar terus ke rumah pelanggan.
Mereka juga perlu berada di kediaman bertanah bagi menempatkan peti penyejuk berkenaan, tetapi jika usahawan itu tinggal di kondominium, boleh menggunakan ruang di bahagian lobi untuk meletakkan peti penyejuk berkenaan.
Kami ada 72 kawasan di Lembah Klang dan sebagai contoh tempahan diterima di kawasan Bandar Sri Damansara maka GOGOPREUNERS yang menjaga kawasan tersebut akan menerima tempahan berkenaan dan menyiapkan barangan pada keesokan harinya untuk dihantar oleh penghantar.
Berapakah pendapatan yang boleh dicapai oleh GOGOPREUNERS sebulan?
Ia bergantung kepada usaha dan komitmen usahawan itu dan jika mereka mengikut garis panduan yang ditetapkan, mereka boleh mendapat antara RM5,000 sehingga RM10,000 sebulan.
Sebagai contoh, kami memiliki seorang graduan wanita berusia 21 tahun berjaya mencatat pendapatan lumayan setiap bulan. Dia yang rajin dan sabar kini menjadi salah seorang GOGOPREUNERS berjaya buat masa ini.