SHAH ALAM – Tawaran gaji minimum kepada graduan dipersetujui antara golongan itu dengan majikan dan tidak sesekali melibatkan pendirian kerajaan.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan menegaskan semua majikan masih tertakluk kepada penguatkuasaan Akta Kerja 1955 (Akta 265) dan tiada kelonggaran diberikan ketika musim pandemik Covid-19.
“Namun, ada majikan yang menawarkan kerja dengan gaji sedia ada daripada menjadi penganggur.
“Ia bukan pendirian kerajaan namun persetujuan antara majikan dengan graduan yang sanggup menerima bayaran gaji rendah,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan program Malaysia Prihatin dan penyerahan Geran Pembangunan Kesatuan Sekerja (GPKS) Zon Tengah di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Saravanan berkata, ada graduan berkemungkinan memperoleh gaji harian pada tempoh masa tertentu atau secara separuh masa.
“Selain itu, ada majikan tidak memerlukan pekerja sepenuh masa dan mereka akan membayar gaji mengikut waktu bekerja,” ujarnya. -K! ONLINE