fbpx

Final terindah dalam karier Faizal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PARA pemain THT meraikan kejayaan menjulang Piala TNB dengan menewaskan UniKL 2-0 pada aksi final di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil malam kelmarin.

BINTANG Pasukan Hoki Terengganu (THT), Faizal Saari menyifatkan kejayaan menjulang Piala TNB selain bergelar penjaring terbanyak Liga Hoki Malaysia (MHL) musim ini adalah antara pencapaian paling manis dalam kariernya.

Meskipun beraksi dalam keadaan sakit lutut, namun Faizal, 30, masih mampu menjalankan tanggungjawabnya sebagai kapten THT apabila meledak dua gol untuk mengikat kedudukan 4-4 dengan Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

Situasi itu membolehkan THT yang terlebih dahulu ketinggalan dua gol awal, mengheret perlawanan ke penentuan penalti shoot-out untuk menewaskan UniKL 2-0 pada aksi final di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil malam kelmarin.

Ia menyaksikan THT kembali merampas gelaran Piala TNB sekali gus menamatkan dominasi UniKL sejak tahun lalu dan pada masa sama menobatkan Faizal sebagai penjaring terbanyak kejohanan dengan 16 gol.

“Ini adalah gelaran Piala TNB peribadi yang keenam selepas lima kali memenanginya bersama THT dan satu ketika mewakili TNB (Tenaga Nasional Berhad).

“Saya memberitahu rakan-rakan supaya bermain seperti biasa walaupun kita ketinggalan satu atau dua gol. Mereka membuktikannya dengan bangkit mendahului UniKL 3-2 sebelum ia menjadi 3-3, 4-3, 4-4 dan seterusnya menang penentuan penalti.

“Saya menganggap ini adalah aksi final yang paling menarik pernah saya bermain dalam karier saya. Sekarang masa untuk kami meraikan kejayaan ini dan memanfaatkan masa rehat sebelum kembali bersama skuad kebangsaan,” kata Faizal.

Sementara itu, ketua jurulatih UniKL, Megat Azrafiq Megat Termizi enggan menuding jari kepada mana-mana pemainnya disebabkan kekalahan tersebut, sebaliknya berbangga dengan pencapaian yang berjaya diraih mereka musim ini.

Biarpun gagal menjuarai Piala TNB, namun UniKL masih bergelar juara berganda selepas menjulang Piala Sumbangsih dan Liga Hoki Malaysia musim ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI