HULU TERENGGANU – Seorang pekerja kilang dari Kampung Machang, Ajil di sini membuktikan keikhlasan hati dan keluhuran cintanya apabila menerima wanita kerdil berketinggian 118 sentimeter sebagai isteri.
Muhammad Azri Zaidi, 19, yang bertemu jodoh menerusi permainan video online, PUBG selamat disatukan dengan gadis pilihan hatinya, Syakila Norazma Amira Zuharsema, 27, dari Kampung Pengkalan Ajal, Ajil di Pejabat Agama Daerah Hulu Terengganu pada 18 Mac lalu.
Muhammad Azri berkata, keperibadian dan keyakinan diri yang dimiliki isterinya itu membuatkan hatinya terpaut untuk menyunting wanita berkenaan menjadi permaisuri hidupnya.
Katanya, dia tidak pernah melihat saiz fizikal sebagai satu kekurangan.
“Kami sama-sama bermain PUBG pada Ramadan tahun lalu sebelum bertukar-tukar nombor telefon dan kemudiannya sering berhubung melalui aplikasi WhatsApp. Lama-kelamaan terbit rasa sayang dalam hati.
“Tidak sangka apabila kami menyatakan hasrat untuk ‘bersatu’ kepada keluarga masing-masing, semuanya menyokong dan merestui hubungan ini.
“Walaupun mengetahui dia (Syakila) tidak seperti wanita lain namun di mata saya, dia tetap sempurna, kami melengkapkan kekurangan masing-masing. Suara-suara sinis tidak saya ambil kisah kerana yang lebih penting kami berdua bahagia,” katanya di rumah mereka di Kampung Machang di sini semalam.
Sementara itu, Syakila Norazma Amira berkata, dia dapat rasai keikhlasan cinta suaminya itu yang tidak pernah malu atau mengejek keadaan fizikalnya.
Ujarnya, ia menggambarkan kematangan Muhammad Azri meskipun berusia lebih muda daripadanya.
Syakila Norazma Amira yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik berkata, meskipun diselubungi perasaan takut untuk berjumpa dengan keluarga suami buat pertama kali, namun dia kuatkan semangat serta percaya dengan kekuatan cinta mereka berdua.
“Suami banyak yakinkan saya tentang keluarganya dan syukur mereka bukan sahaja baik, malah dapat menerima saya seadanya tanpa pernah melihat fizikal saya sebagai kekurangan. Keluarga saya juga terbuka terima suami walaupun masih muda.
“Sebelum ini ada yang ‘bertanya’ namun tidak terbuka pintu hati saya untuk berkahwin sehinggalah berkenalan dengan Azri. Mengenalinya membuatkan saya cukup bahagia kerana dia benar-benar menerima saya seadanya,” ujarnya.