BANGKOK – Sekumpulan pakar veterinar di Thailand berjaya mengeluarkan batu karang seberat 1.7 kilogram (kg) dalam pundi kencing seekor gajah berusia 50 tahun, lapor akhbar The Nation Thailand, kelmarin.
Kejayaan itu sekali gus mencipta rekod dunia bagi proses pengeluaran sebiji batu karang dari dalam seekor haiwan dengan berat tersebut.
Pembedahan mengeluarkan batu karang daripada pundi kencing gajah betina bernama Sai Thong itu dijalankan minggu lalu di Fakulti Veterinar di Universiti Kasetsart Kampus Kamphaengsaen di wilayah Nakhon Pathom.
“Ini adalah pembedahan kedua di dunia yang melibatkan batu karang yang dikeluarkan daripada gajah. Kali pertama, kami melakukan pembedahan serupa pada Kham Moon, gajah jantan berusia 45 tahun.
“Bagaimanapun, kes Sai Thong berbeza kerana kami mengeluarkan satu batu karang besar seberat 1.7kg. Dalam kes Kham Moon, kami mengeluarkan lebih dari 162 batu karang dengan berat keseluruhan 8kg,”kata Profesor Madya Dr. Nikorn Thongthi.
Sai Thong dihantar ke universiti tersebut pada 28 Mac lalu selepas mengalami simptom sakit perut, hilang selera makan dan tidak boleh membuang air kecil.
Pakar veterinar mengesan kehadiran batu karang dalam pundi kencingnya kerana meminum air dari sumber mengandungi kesan batu kapur yang tinggi.
Pembedahan itu mengambil masa sekitar enam jam bagi membolehkan doktor membuang batu karang sepanjang 12×16 sentimeter dengan berat 1.7kg.
Buat masa sekarang, Sai Thong masih dalam pemantauan rapi pakar veterinar dan bakal menjalani rawatan pemulihan intensif.
“Kejayaan pembedahan ini bukan sekadar satu pencapaian besar bagi kalangan veterinar Thailand tetapi turut menjadi tonggak penting dalam sektor perawatan gajah dalam kalangan komuniti doktor haiwan global,” kata Nikorn. – Agensi