DHAKA, Bangladesh – Sekurang-kurangnya 20 orang maut manakala beberapa puluh yang lain dikhuatiri lemas di Bangladesh apabila sebuah feri bertembung dengan sebuah bot di Sungai Shitalakhsya petang semalam.
Feri dua tingkat itu dilanggar sebuah kapal kargo dari arah belakang dan karam di dalam Sungai Shitalakhsya, dekat ibu kota Bangladesh, Dhaka, demikian menurut pegawai tempatan, Mobarak Hossain.
Sekurang-kurangnya 15 mayat telah ditemui, menjadikan jumlah kematian akibat nahas itu meningkat kepada 20 orang.
“Kami telah menemui 15 mayat lagi selepas feri yang karam ditarik keluar ke tebing sungai. Angka kematian kini adalah 20 orang,” kata pentadbir bandar Narayanganj, Shukla Sarker kepada AFP.
Kemalangan berlaku sekitar pukul 6 petang(waktu tempatan), tidak lama selepas feri itu meninggalkan Narayanganj menuju ke daerah berdekatan, Munshiganj dalam perjalanan yang mengambil masa sekitar 45 minit.
Feri itu dipenuhi penumpang yang bergegas meninggalkan kawasan industri selepas kerajaan Bangladesh mengesahkan perintah berkurung di seluruh negara selama tujuh hari mulai hari ini dalam usaha untuk mengawal peningkatan kes Covid-19.
Sepanjang tujuh hari perintah berkurung berjalan, semua perkhidmatan pengangkutan domestik termasuk penerbangan akan ditangguhkan dengan pusat beli-belah dan kedai ditutup.
Bank pula hanya dibenarkan dibuka selama 2 setengah jam pada hari bekerja sementara perniagaan sektor awam dan swasta dibenarkan beroperasi dengan jumlah pekerja paling minimum di pejabat. – Agensi