fbpx

Tidak pernah bermimpi jadi komposer – Ezra Kong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
EZRA KONG

PEMILIK nama lengkap Ezra Kong Yi Jia itu melangkah masuk ke ibu pejabat Media Mulia dengan penampilan ringkas. Bercelana hitam dan baju-T berona putih serta senyuman yang sedikit terukir di bibir.

Itu merupakan momen pertama kali bertemu empat mata dengan lelaki yang berprofesi pencipta lagu itu. Pada mulanya dia agak sedikit pemalu, namun satu pertanyaan terpacul dari bibirnya apabila bertanyakan tentang permainan catur ‘gergasi’ bersebelahan stesen kerja para wartawan.

SEPERTI terlihat pada kaca mata semua orang yang menontonnya dalam televisyen sebelum ini, ternyata Ezra memiliki keperibadian dan sikap pemalu.

“Do you play chess?” tanya Ezra, 33. Jawab penulis: “No, I don’t. Do you?”

“I started learning to play because of The Queen’s Gambit on Netflix,” ujar Ezra lagi sebelum kenyataan tersebut dibalas dengan seloroh dari mulut penulis berbunyi: “The only game that’s probably similar to that I play is dam ular.”

Tak pernah fikir jadi komposer

Meneroka terus kisah hidup lelaki itu menerusi wawancara, Ezra yang merupakan anak jati Klang, Selangor mendedahkan, dia tidak pernah memasang angan-angan untuk mengukir kejayaan dalam bidang penulisan lagu.

Apatah lagi, bidang tersebut kebiasaannya dipelopori masyarakat Melayu yang merupakan bangsa terbesar di negara ini.

LANGSUNG tidak pernah bermimpi dirinya akan bergelar komposer, namun Ezra mengakui minatnya terhadap dunia muzik mula tumbuh sejak di bangku sekolah.

“Kalau anda tanya saya, saya pun tidak berapa pasti bagaimana semua kejayaan ini datang. Saya tidak pernah bermimpi pun nak melibatkan diri dalam bidang seni.

“Ketika kecil atau di bangku sekolah, kita semua inginkan kerjaya-kerjaya yang popular seperti doktor, jurutera dan arkitek, namun saya tiada kecenderungan atau bakat ke arah itu.

“Sejak di bangku sekolah lagi saya sudah mula asah bakat dalam bidang muzik, namun orang tidak berapa perasan. Saya buat lagu dan main gitar. Saya juga akui, walaupun dah menang beberapa trofi, saya masih dalam proses belajar dan mengasah penguasaan bahasa Melayu,” katanya yang pernah bersekolah di SMK Raja Lumu, Klang.

‘Kita rakyat Malaysia’

Ujar Ezra yang mempunyai tiga orang adik-beradik, dia mendapat pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan sekali gus membuatkan dirinya lebih dekat dengan budaya, muzik dan tradisi orang Melayu tanpa pernah mengikis jati dirinya sebagai seorang anak Cina.

Kata Ezra, adakalanya dia mendapat inspirasi menulis lagu ketika memandu kereta dan daripada pengalaman kawan-kawan sendiri.

“Saya ramai kawan Melayu ketika di sekolah menengah. Saya suka dengan budaya dan adat resam orang Melayu. Pada saya, tidak kiralah Melayu, Cina atau India, kita semua orang Malaysia.

“Ada satu perihal yang akan buat kita semua terus maju iaitu bergerak ke hadapan bersama-sama. Kita rakyat Malaysia sudah lebih 60 tahun tinggal bersama. Perbezaan dan kepelbagaian kita yang membuatkan negara ini unik di mata dunia,” tutur Ezra yang menuntut pengajian dalam bidang Psikologi di Universiti Liverpool John Moores, England.

Ditanya siapakah inspirasinya untuk berkecimpung dalam dunia penulisan lagu, Ezra beberapa kali menyebut nama seniman agung negara, tidak lain tidak bukan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

MEMILIKI ramai kawan Melayu kerana mendapat pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan, Ezra mengakui situasi itu membuatkan dirinya lebih dekat dengan budaya, muzik dan budaya bangsa itu.

“Kita tidak boleh nafikan beliau merupakan anak seni paling hebat yang pernah lahir di bumi Malaysia. Karyanya sampai sekarang masih lagi menjadi rujukan dan segar dalam minda masyarakat.

“Kalau bercakap tentang mentor saya pula dalam bidang penulisan lagu, saya ingin ucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Audi Mok, Omar K, Mike Chan, Faizal Tahir, YouTube dan Google.

“Zaman sekarang, kalau anda ada bakat idea dan buat lagu, boleh buat dari mana sahaja. Dari rumah pun boleh. Oh ya, sudah tentu Hael Husaini pun banyak membantu saya terus belajar buat lagu,” tuturnya bernada polos.

Keluarga sokong, khuatir

Ditanya tentang penerimaan keluarga terutama ibu dan bapanya apabila dia meluahkan hasrat ingin ‘terjun’ dalam dunia muzik, Ezra berkata, mereka tidak membangkang namun lebih kepada prihatin akan masa depannya.

SELAIN mengidolakan seniman agung P. Ramlee, Ezra turut mengagumi M. Nasir, Faizal Tahir dan Harry Khalifah.

“Ibu bapa mana yang tidak mahu tengok anak mereka berjaya? Begitu juga ibu bapa saya. Saya cuma perlu buktikan kepada mereka yang minat ini sebenarnya boleh membawa saya ke puncak kejayaan.

“Tiada bantahan cuma saya faham, mereka prihatin atau khuatir jika kerjaya ini mungkin tak menjamin masa depan. Saya cuma cakap satu pada diri iaitu saya akan buat yang terbaik dan buktikan boleh berjaya dengan ikut firasat hati,” kata Ezra.

Ditebak tentang apa lagi perkara ingin dicapai dalam bidang yang kini menjadi periuk nasi utamanya, jawab Ezra: “Saya sebenarnya tak kisah soal menang atau kalah ketika bertanding. Kalau menang kira bonus. Jika sebaliknya, mungkin bukan rezeki dan saya akan terus cuba buat yang terbaik.

Mengakui sedikit ‘demand’ sejak menang beberapa trofi AJL, Ezra berkata, itu hal biasa, namun apa yang penting adalah kualiti kerja yang ingin ditonjolkan kepada industri.

“Satu hal yang saya ingin capai adalah terus memperbaiki bahasa Melayu. Banyak lagi aspek yang boleh diperbaiki untuk saya sebagai seorang komposer,” luahnya merendah diri.

Sebelum menggulung bicara, Ezra mendedahkan kepada Pose bahawa dirinya sudah bersedia untuk memikul status sebagai seorang suami.

“Saya sudah daftar perkahwinan bulan lalu. Kalau boleh saya tidak mahu kahwin buat majlis besar-besaran. Tetapi orang perempuan mungkin mahu yang sebaliknya. Saya ikut sahaja nanti.

“Wanita istimewa itu kawan baik saya dan kami sudah kenal lebih 10 tahun sejak zaman sekolah. Kalau sudah nak kahwin nanti, jangan risau. Saya akan layangkan kad undangan kepada media terutama Kosmo! (tertawa),” seloroh Ezra mesra mengakhiri perbualan.

HATINYA sudah dimiliki seorang wanita istimewa, Ezra mendedahkan dia bakal mendirikan rumah tangga tidak lama lagi.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI