TELUK INTAN – Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari bot dinaikinya dalam kejadian di Sungai Rubana di sini hari ini.
Mangsa, Wan Azila Abdul Aziz, 27, terjatuh ke dalam sungai selepas bot dipandu abang iparnya cuba mengelak daripada melanggar keladi bunting.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan, Mohd. Ismail Mohd. Yunus berkata, pihaknya ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada pukul 5.48 petang berhubung insiden tersebut.
Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) kemudian digerakkan oleh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan dibantu BBP Kampong Gajah.
“Berdasarkan maklumat, kejadian itu berlaku ketika mangsa dan abang iparnya memancing di sungai tersebut sebelum lelaki itu terjatuh ketika bot cuba mengelak dari melanggar keladi bunting.
“Abang ipar mangsa terjun ke dalam sungai bagi menyelamatkan lelaki itu namun gagal,” katanya di sini hari ini.
Manurut beliau, operasi SAR dijalankan dengan anggota melakukan pencarian di permukaan air di sekitar kawasan kejadian.
“Abang ipar mangsa selamat dan telah dihantar ke hospital oleh orang awam. Operasi mengesan mangsa kini sedang dijalankan,” katanya.-K!ONLINE