fbpx

PM adakan lawatan rasmi ke Brunei esok, lusa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhyiddin

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengadakan lawatan rasmi ke Bandar Seri Begawan, Brunei esok bersempena Rundingan Pemimpin Tahunan ke-23 Malaysia-Brunei Darussalam.

Kementerian Luar (KLN) dalam satu kenyataan berkata, lawatan rasmi sehingga Isnin itu akan menjadi pertemuan kali pertama Perdana Menteri dengan Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Sultan Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah di bawah kerangka Rundingan Pemimpin Tahunan.

Kenyataan itu berkata, lawatan tersebut juga adalah bagi memenuhi jemputan Sultan Hassanal Bolkiah yang telah dipanjangkan kepada Perdana Menteri sebelum ini.

Menurutnya, Rundingan Pemimpin Tahunan itu merupakan platform peringkat tertinggi bagi perbincangan mengenai pelbagai isu dua hala, hal ehwal serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

“Kedua-dua pemimpin akan mengambil peluang semasa mesyuarat tahunan ini untuk menilai kemajuan kerjasama yang sedang berjalan di samping mengukuhkan lagi hubungan istimewa dan kerjasama pasca Covid-19 yang akan memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara.

“Ini termasuk perbincangan mengenai cadangan pewujudan Aturan Laluan Hijau Timbal Balas di antara Malaysia dan Brunei, cadangan kerjasama dalam bidang diplomasi vaksin dan cadangan ke arah pengukuhan kerjasama ekonomi,” katanya di sini hari ini.

KLN berkata, kedua-dua pemimpin akan menyaksikan pemuktamadan Memorandum Persefahaman dalam bidang Pengurusan Bencana di antara kedua-dua kerajaan.

Katanya, kedua-dua pemimpin itu juga akan menyaksikan pemeteraian perjanjian Unitisation Agreement di antara PETRONAS dan Brunei National Unitisation Secretariat dalam sektor minyak dan gas di mana Rundingan Pemimpin Tahunan ke-22 telah diadakan di Putrajaya pada 5 Mac 2019.

“Satu Kenyataan Bersama akan dikeluarkan di akhir Rundingan Pemimpin Tahunan Ke-23 ini,” katanya.

Sementara itu, KLN berkata, Perdana Menteri hanya akan diiringi isteri beliau, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman dan Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein serta delegasi kecil terdiri daripada pegawai-pegawai kanan kerajaan untuk meminimumkan risiko jangkitan Covid-19.

“Lawatan rasmi ini juga tertakluk kepada prosedur operasi standard pencegahan Covid-19 yang ketat sebagaimana yang telah dipersetujui oleh Kementerian Kesihatan, Majlis Keselamatan Negara serta Kementerian Kesihatan Brunei Darussalam,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI