PETALING JAYA – Seorang penunggang motosikal parah selepas merempuh sebuah kereta berhampiran Bulatan Billion Cheras, Cheras, Rabu lalu.
Rakaman berkenaan kejadian yang berdurasi 28 saat itu tular di laman sosial Facebook memaparkan mangsa melambung dengan kuat dan tercampak sebaik merempuh kenderaan berkenaan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, kejadian itu berlaku kira-kira 1.59 petang melibatkan sebuah kereta dan sebuah motosikal.
“Siasatan polis mendapati, kejadian berlaku ketika kereta yang dipandu lelaki berusia 25 tahun bergerak di lorong tengah dan dia dikatakan mahu membelok ke kanan menghala ke Taman Yulek.
“Pada masa yang sama, datang sebuah motosikal yang ditunggang lelaki berusia 23 tahun di lorong paling kanan telah bergerak secara lurus lalu merempuh kereta berkenaan,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Jelasnya, ekoran rempuhan itu, penunggang motosikal tercampak ke jalan raya dan mengalami kecederaan parah.
“Dia dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan sehingga kini masih dirawat di Wad 5,” ujarnya.
Katanya, siasatan kes diteruskan di bawah Rule 8 LN 166/59. – K! ONLINE