KLANG- MIC menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Perikatan Nasional (PN) ketika ini.
Presidennya, Tan Sri SA Vigneswaran berkata, partinya akan terus mendokong perikatan tersebut sehingga satu keputusan dibuat Majlis Tertinggi Barisan Nasional (BN) pada mesyuarat akan datang.
“UMNO pada minggu lepas telah memutuskan untuk menoktah hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada PRU akan datang dan MIC menghormati keputusan atas semangat setiakawan BN.
“Bagaimanapun, MIC pada masa sekarang menyokong kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan akan berkerjasama dengan Bersatu hingga suatu perkembangan baru dalam keputusan majlis tertinggi BN,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Agung Tahunan MIC ke-74 di Hotel Wyndham Acmar, di sini, hari ini.
Bekas Speaker Dewan Negara itu turut menzahirkan penghargaannya kepada Perdana Menteri kerana memperuntukkan satu jawatan Menteri untuk partinya, iaitu Menteri Sumber Manusia kepada Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan walaupun MIC hanya memenangi satu kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Sementara itu ketika sidang akhbar, beliau meminta semua pihak menghormati keputusan MIC memberikan peluang kepada Muhyiddin memberikan ucapan pada perhimpunan tersebut.
“Kita memberi penghormatan kepada Muhyiddin untuk berucap pada perhimpunan kami kali ini.
“Adalah tidak matang kepada mana-mana pihak menuduh kami sebagai tidak setia kepada BN apabila membenarkan beliau berucap,” tegasnya. – K! ONLINE