LIVERPOOL – Pemain sensasi Liverpool, Sadio Mane menyeru agar rakan-rakan sepasukan kembali fokus dalam usaha memperbaiki prestasi pada kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini dengan mengutip tiga mata ketika bertemu Arsenal di Emirates awal pagi esok.
Sebagai rekod, skuad The Reds yang dikendalikan oleh Jurgen Klopp berjaya meraih gelaran EPL pertama pada saingan musim lepas tetapi gagal mengulangi prestasi yang diharapkan apabila hanya meraih 46 mata daripada 29 perlawanan.
Kata Mane, semua pemain perlu bertanggungjawab dalam usaha mengembalikan prestij pasukan Liverpool terutama memperbaiki kedudukan carta liga dengan meraih slot automatik ke pentas Eropah musim depan.
“Kita perlu akur dengan prestasi pasukan yang meraih keputusan di luar jangkaan musim ini tetapi itu tidak bermakna barisan pemain perlu terus tunduk ke bawah. Masih banyak perlawanan yang perlu kita harungi dan pasukan perlu bekerja keras bermula sekarang.
“Untuk permulaan, sudah tentu kami perlu mendapatkan keputusan yang positif ketika bertemu Arsenal nanti dan ia adalah perlawanan yang penting dan tiada jalan pintas buat kami sekiranya berhasrat untuk meraih tiga mata penuh.
“Motivasi dan semangat pemain perlu segera ditingkatkan. Kami tidak boleh memberi sebarang alasan yang tidak munasabah sekiranya gagal meraih kemenangan,” kata Mane yang hanya meledak 12 gol dalam semua kejohanan sepanjang musim ini.
Sementara itu, Liverpool mengesahkan penyerang utama, Roberto Firmino sudah cergas dan bersedia untuk diturunkan pada aksi bertemu skuad kendalian Mikel Arteta nanti. – AGENSI