BACHOK – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menyasarkan nilai jualan hasil pertanian sebanyak RM60 juta menerusi program Ladang Kontrak 2.0 yang dilaksanakan sepanjang tahun ini.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, sasaran itu relevan kerana program di bawah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) pada tahun ini menggunakan teknologi fertigasi pintar iaitu proses menyiram dan pembajaan tanaman diuruskan menggunakan telefon pintar.
Katanya, teknologi itu berupaya membantu meningkatkan pengeluaran pelbagai jenis sayur-sayuran dan buah-buahan tempatan yang bakal digunakan oleh seramai 1,000 peserta yang terlibat.
“Program ini dapat membantu petani memasarkan hasil tanaman dengan lebih baik secara borong dan runcit. Usaha ini akan dikembangkan secara berterusan sehiNgga mampu membantu meningkatkan pendapatan petani.
“Pengenalan kepada teknologi baharu itu juga bertujuan untuk mengurangkan kebergantungan kepada produk dari luar negara,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita ketika mengadakan lawatan kerja Projek Usahawan Ladang Kontrak 2.0 FAMA Kelantan di Pasar Tani Borong Runcit, Kampung Teluk Kemunting, Tawang di sini hari ini.
Terdahulu beliau menyerahkan replika cek bernilai RM7,000 kepada seorang usahawan, Mhd. Jasni Abd Rahman, 46, yang mengusahakan tanaman fertagasi gantung tanaman timun hijau sebanyak 1,100 polibag.
Sementara itu, Mhd. Jasni berkata beliau akan menggunakan peruntukan yang disalutkan oleh FAMA bagi mengusahakan tanaman timun hijau menggunakan konsep fertasi gantung di keluasan tanah sekitar 0.2 hektar.
Katanya, projek itu berkonsepkan teknologi fertigasi pintar yang dimulakan Mac tahun lalu dan dijangka mampu mengeluarkan hasil sebanyak 5.5 metrik tan pada hujung bulan ini.
“Hasil tuaian ini akan dipasarkan di Pasar Tani Borong Runcit, Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) FAMA Kelantan dan pasar raya Mydin di Kubang Kerian,” katanya. – K! ONLINE