LONDON- Kerajaan Britain menetapkan bahawa keluarga yang berhasrat untuk bercuti ke luar negara perlu membayar £600 (RM3,435) untuk kos ujian Covid-19 walaupun destinasi pilihan mereka berada dalam senarai zon hijau, lapor akhbar The Sun semalam.
London memperkenalkan sistem penggredan mengikut warna hijau, kuning dan merah berdasarkan jumlah kes Covid-19 dan kadar vaksinasi negara yang ingin dikunjungi.Penggredan tersebut dikenali sebagai ‘sistem lampu isyarat’.
Di bawah sistem itu, setiap pelancong yang mahu bercuti ke negara zon hijau iaitu berisiko rendah perlu menjalani sekurang-kurangnya dua ujian Covid-19.
Destinasi percutian musim panas yang popular akan dimasukkan ke dalam sistem lampu isyarat baharu itu bagi membolehkan warga Britain bercuti ke negara zon hijau dengan jumlah kes Covid-19 rendah dan kempen vaksinasi yang baik.
Perdana Menteri, Boris Johnson berkata, kerajaan juga akan mendedahkan lebih banyak maklumat berkenaan pasport vaksin, sekatan perjalanan dan juga jarak sosial.
Bagi keluarga seramai empat orang yang merancang untuk bercuti ke luar negara, mereka perlu membelanjakan sekurang-kurangnya £400 (RM2,290) sebagai kos ujian Covid-19 sebelum bertolak dan tambahan £200 (RM1,145) untuk saringan selepas tiba di destinasi tersebut biarpun berstatus zon hijau.
Dalam perjalanan pulang pula, satu lagi ujian perlu diambil dalam tempoh 72 jam sebelum menaiki penerbangan menuju ke Britain dan juga dua hari selepas tiba di tanah air bagi memastikan pengembara tidak dijangkiti varian Covid-19 superspreader sewaktu bercuti.- Agensi