fbpx

Pendapatan peneroka dijangka cecah RM5,000 seorang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mustapa (tengah) melihat tanaman halia muda Amran (kanan) sempena Lawatan Kerja ke Projek Halia Muda di Felda Raja Alias 1, di sini, tadi.

JEMPOL – Berikutan harga Buah Tandan Segar (BTS) melonjak dari sekitar RM400 kepada lebih RM900, pendapatan peneroka dijangka bakal meningkat sehingga mencecah sebanyak RM5,000 setiap orang secara puratanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kenaikan pendapatan berkenaan adalah berdasarkan kenaikan harga minyak sawit iaitu melebihi RM4,000 bagi kadar satu tan minyak berkenaan di pasaran.

Menurutnya, lonjakan harga di paras tertinggi berkenaan tidak pernah dan diharapkan harga kelapa sawit berkenaan kekal berada di paras stabil.

“Kita bersyukur kerana dalam dua ke tiga bulan ini peneroka felda nikmati pendapatan lebih tinggi… kalau tahun lepas seorang peneroka pendapatan mungkin sekitar RM1,500 sebulan sekarang ini sudah RM5,000 sebulan (secara puratanya).

“Yang penting, peneroka felda boleh bersyukur dengan pendapatan yang bertambah ini,” katanya kepada pemberita selepas membuat Lawatan Kerja ke Projek Halia Muda di Felda Raja Alias 1, di sini, tadi.

Sementara itu, Mustapa berkata, lawatan berkenaan adalah bagi meninjau perlaksanaan, prestasi dan kejayaan projek di bawah Program Pembangunan Peneroka (PPP) yang dilaksanakan secara giat sejak dari tahun lalu.

Menurutnya, kerajaan telah memperuntukan sejumlah RM238 juta bagi perlaksanaan projek berkenaan di mana pada tahun lalu sebanyak RM138 juta diberikan dan tahun ini sebanyak RM100 juta.

“Sehingga kini, sebanyak 132 projek PPP telah diluluskan iaitu 63 projek dilaksanakan individu dan 60 lagi projek dilaksanakan oleh koperasi.

“Kita sudah membuat projek perintis di Felda Bukit Rokan (Gemencheh) bagi projek arnab, cendawan dan lain-lain lagi.

Malah menurutnya, Felda telah memutuskan untuk memperuntukan sebanyak RM10juta bagi projek halia muda di Wilayah Raja Alias seperti mana yang dilaksanakan oleh peneroka Amran Mahat, 63, sejak tahun 2016 lagi.

“Kini beliau (Amran) turut mempunyai 10 orang individu (peserta) di bawahnya bagi tanaman kelompok halia muda dan memperoleh pendapatan agak lumayan sekitar RM500 seorang sebulan.

Menurutnya, tahun ini, Felda memfokoskan kepada tanaman halian muda berdasarkan harga dan pasarannya yang baik.

“Negara kini mengimport halia dari China dan lain-lain lagi kira-kira RM200 juta setahun.

“Selari dengan hasrat kita untuk mengurangkan import dan menambah jaminan bekalan makanan kita galakan petani (termasuklah peneroka) tanam keluaran pertanian. Halia potensi cukup baik pasarannya,” katanya.

Menurutnya, secara tidak langsung langkah ini akan dapat membantu hasrat kerajaan untuk menambah pendapatan peneroka. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI