fbpx

Dua ekor lembu mati dipijak gajah liar naik minyak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tiga pekebun melihat salah seekor lembu yang mati akibat dipijak gajah liar dalam kebun getah di Kampung Subong, Gua Musang. Foto : AIMUNI TUAN LAH

GUA MUSANG – Seramai 30 pekebun di Kampung Subong di sini takut untuk keluar ke kebun mereka selepas seekor gajah jantan liar dipercayai mengamuk dan memijak dua ekor lembu ternakan hingga mati dua hari lalu.

Tidak cukup dengan itu, kehadiran gajah juga menyebabkan mereka terpaksa menanggung kerugian hampir puluhan ribu ringgit apabila lebih 300 batang pokok pisang dan getah dimusnahkan haiwan itu.

Seorang pekebun, Zakaria Omar, 53, berkata, dia melihat gajah itu berkeliaran di dalam kebunnya sejak lebih dua minggu lalu.

Katanya, kejadian paling teruk berlaku pada malam Khamis lalu apabila dua ekor lembu peliharaannya mati dipercayai dipijak haiwan liar itu.

“Akibat kejadian itu, saya bersama penduduk lain takut ke kebun untuk menoreh getah dan menebang pisang untuk dijual.

“Setakat ini, dianggarkan hampir 300 pokok pisang sudah dimusnahkan gajar itu termasuk milik saya sendiri 150 pokok,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Seorang lagi pekebun, Nik Kamarul Aziman Nik Zul, 32, berkata, dia sendiri sudah beberapa kali terserempak dan hanya mampu melihat gajah itu memusnahkan tanaman pisang.

Katanya, pekebun-pekebun bimbang sekiranya pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) tidak mengambil tindakan segera yang mungkin menyebabkan lebih banyak ternakan dan tanaman akan dipijak haiwan itu.

“Kami sudah melaporkan kepada pihak Perhilitan dan masih menunggu tindakan lanjut mereka.

“Saya berharap gajah itu ditangkap segera untuk dipindahkan ke kawasan lain. Jika dibiarkan ia akan menjejaskan mata pencarian kami,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI