JAKARTA – Seorang pemandu syarikat teksi online di Sumatera mengaku dia berpura-pura hilang kerana ingin meluangkan masa bersama kekasih gelapnya, lapor portal berita
Suara.com kelmarin.
Epan Tarnando, 30, ditemukan dalam keadaan baik oleh pihak polis yang menerima laporan kehilangannya daripada isteri lelaki tersebut.
Epan sengaja membuat dirinya seperti hilang, namun dia sebenarnya bermalam di rumah kekasih gelapnya di Kertapati, Sumatera Selatan sebelum berangkat ke rumah keluarga wanita itu di Lampung.
“Saya lari dari rumah selepas bertengkar dengan mertua. Saya ke rumah Melisa (kekasih gelapnya) dan kemudian ke rumah ibu bapa Melisa di Lampung.
“Saya tidak memberitahu khabar agar nampak seolah-olah saya benar-benar hilang,” kata Epan kepada pihak media.
Epan mengaku bahawa dia baru sebulan menjalin hubungan cinta dengan Melisa dan sering menghabiskan masa bersama wanita itu.
Isteri Epan, Sekar Asri, 25, mengakui kecewa dengan kecurangan Epan dan memohon maaf kerana menyusahkan orang ramai untuk mencari suaminya.
“Sudah tentu saya kecewa, saya minta maaf kerana telah menyusahkan semua pihak,” katanya. – Agensi