KOTA TINGGI – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Tinggi menempatkan semula anggotanya di kawasan pantai berisiko di daerah ini bagi memantau keselamatan orang awam yang melakukan aktiviti di laut sejak semalam.
Pegawainya, Mohd. Sarul Nizam Khirudin berkata, seramai lima anggota telah ditempatkan di Pantai Awam Desaru yang telah dibuka kepada orang ramai sejak tutup tahun lalu akibat pandemik Covid- 19.
Katanya, pasukan APM Kota Tinggi kini telah bertugas semula di Pantai Awam Desaru bermula semalam bagi memastikan keselamatan pengunjung yang mandi dapat dipantau oleh anggota bertugas.
“Waktu tugasan adalah pada cuti umum, cuti minggu dan cuti am yang mana berlaku penambahan pada bilangan pengunjung pada hari-hari berkenaan.
“Selain di Pantai Awam Desaru terdapat anggota juga yang akan ditempatkan di Pantai Tanjung Balau yang akan dibuka kepada orang ramai pada Jun nanti selepas selesai dinaiktaraf,”katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.-K! ONLINE