PETALING JAYA – Seramai 770,653 individu telah menerima suntikan vaksin Covid-19 di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sehingga 11.59 malam semalam.
Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) menerusi Twitter berkata, seramai 506,069 individu telah menerima suntikan bagi dos pertama sementara bagi dos kedua pula seramai 264,584.
“Selangor mencatatkan jumlah tertinggi dengan 71,389 penerima dos pertama diikuti Sarawak 50,482 dan Perak 50,307. Bagi dos kedua, didahului Selangor dengan 32,258, Perak (26,662) dan Kuala Lumpur (26,635),” katanya.
Dalam pada itu, JKJAV turut memaklumkan sehingga 11.59 malam semalam, seramai 7,769,449 atau 32 peratus telah berdaftar untuk menerima suntikan vaksinasi Covid-19.
“Selangor mencatatkan jumlah pendaftaran yang tertinggi iaitu sebanyak 2,123,248 diikuti Johor (992,618), Kuala Lumpur (647,485), Sarawak (632,177), Perak (568,307) dan Pulau Pinang (545,325),” ujarnya.
JKJAV turut memberitahu fasa kedua akan bermula dalam masa yang terdekat dan orang ramai yang masih belum membuat pendaftaran untuk mendapatkan vaksin Covid-19 boleh mendaftar melalui MySejahtera, laman web JKJAV di www.vaksincovid.gov.my atau menghubungi Talian Pendaftaran Vaksinasi COVID-19 Kebangsaan di 1800-888-828.
Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilancarkan pada 24 Februari lalu dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi individu pertama disuntik vaksin keluaran Pfizer-BioNTech. K! ONLINE.