SEBERANG PERAI – Seramai 32 individu yang leka berhibur tanpa mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) dikenakan kompaun semasa pemeriksaan mengejut pihak berkuasa di sebuah pusat hiburan di Pusat Perniagaan Gemilang, Bukit Mertajam di sini tengah malam tadi.
Selain kompaun terhadap individu berusia 19 hingga 62 tahun itu, polis menahan dua warga asing yang dipercayai tiada dokumen yang sah semasa Op Noda bermula pukul 12.05 tengah malam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd. Samad berkata, semasa serbuan, pihaknya mendapati premis itu tidak membuat pemantauan SOP terhadap pengunjung.
“Kesemua 32 pengunjung termasuk 10 wanita juga mengaku berhibur dan tidak mengikut SOP yang ditetapkan.
“Seorang tukang sapu sambilan lelaki warga Bangladesh dan seorang wanita warga Vietnam yang datang berhibur dengan lelaki warga tempatan ditahan kerana tinggal di negara ini tanpa permit yang sah,” katanya. – K! ONLINE