fbpx

128 pasukan berentap untuk ke final

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PASUKAN Purge Reborn sudah melakukan persiapan cukup rapi dalam memastikan kesefahaman pasukan jitu sebelum mengharungi aksi kelayakan kedua kali ini.

KEJOHANAN Malaysia Esports Series (MES) 2021 dijangka bertambah sengit pada saingan kelayakan kedua hari ini yang me­nyaksikan 128 pasukan berentap untuk meloloskan diri ke pusi­ngan akhir minggu depan.

Pasukan e-Sukan amatur, Purge Reborn yang bersaing dalam kategori Mobile Legends Bang Bang (MLBB) mengakui meletakkan sasaran agak tinggi pada kejohanan MES, tetapi pada masa sama tidak boleh memandang rendah ancaman skuad pencabar lain.

Pengurus skuad Purge Reborn, Biruni Firdausi berkata, barisan pemain telah melakukan persiapan cukup rapi dalam memastikan kesefahaman pasukan jitu sebelum mengharungi aksi kelayakan kali ini.

“Bagi persiapan pasukan, kami mengkaji dan menganalisis patch dan meta semasa untuk mencari kekuatan dan kelemahan. Daripada situ, baru kami akan dapat memperbaiki draft dan rotasi dalam usaha memburu kemenangan.

“Jika ditanya mengenai sasaran, sudah tentu semua pasukan impikan gelaran juara terutama sekali apabila kejohanan MES ini menawarkan hadiah sebanyak RM15,000 kepada pemenang.

“Namun, kami akui usaha memburu kejuaraan bukanlah sesuatu yang mudah terutama ada pasukan profesional e-Sukan negara turut bertanding. Namun, kami harap dapat melangkah ke pusingan final terlebih dahulu,” katanya kepada Kosmo! semalam.

MAB Esports percaya perbezaan antara pasukan amatur dan profesional tidak terlalu besar pada kejohanan MES 2021.

Sementara itu, pasukan MAB Esports percaya, jurang kualiti antara pasukan amatur dan profesional tidak terlalu jauh dan ada ketika skuad amatur mampu mencipta kejutan dengan tampil lebih baik.

“Perbezaan antara pasukan amatur dan profesional ketika ini tidak terlalu besar, tetapi kami percaya MAB Esports boleh melangkah jauh pada kejohanan MES kali ini.

“Ia berdasarkan persiapan rapi yang kami lakukan sepanjang minggu dengan menjalani latihan selama 10 jam sehari selama enam hari. Misi bergelar juara memang jadi keutamaan kami,” kata pengurus pasukan MAB yang enggan namanya di­dedahkan.

Sebagai rekod, lapan pasukan terbaik bagi PUBGM dan lapan pasukan untuk saingan MLBB telah mengesahkan tempat di pusingan akhir yang akan berlangsung pada 9 hingga 11 April depan.

Kejohanan MES menawarkan hadiah terkumpul RM20,000 bagi FIFA 2021, RM40,000 (MLBB) dan ­­RM40,000 juga bagi permainan PlayerUn­known’s Battleground Mobile (PUBGM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI