TAMPIN – Seramai 10 individu terdiri dari keluarga dan sanak saudara sempat menyelamatkan diri apabila kediaman berusia lebih 40 tahun terbakar dalam kejadian di Felda Bukit Rokan Utara, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian berkenaan, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Gemencheh dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada pukul 5.23 petang.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gemencheh, Norfaizal Ahmad, sebaik tiba di lokasi pada pukul 5.48 petang, api sedang marak.
Katanya, kebakaran dikatakan bermula di bahagian rumah hadapan iaitu rumah ibu lalu merebak ke rumah kedua di bahagian bumbung.
“Kita berjaya mengawal kebakaran pada pukul 6.10 petang dan api padam sepenuhnya pada pukul 8.25 malam.
“Rumah hadapan jenis separuh kekal berkeluasan 70×30 kaki musnah 100 peratus, manakala rumah kedua terbakar di bahagian bumbung,” katanya ketika dihubungi, di sini, tadi.-K! ONLINE