MIRI – Seorang wanita hilang dipercayai disambar buaya ketika sedang mandi di sungai berdekatan rumah panjang Mathis Depa, Sungai Peking, Tinjar, Bakong di sini, hari ini.
Mangsa dikenal pasti sebagai Bini Mawat berumur dalam lingkungan 30an.
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng telah dikerahkan ke lokasi setelah menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.30 tengahari.
“Pelapor memaklumkan mangsa sedang mandi bersama anaknya ketika kejadian.
“Semasa anak mangsa naik ke darat untuk mengambil baldi, mangsa dilihat telah dibaham buaya oleh penduduk yang kebetulan berada di sekitar kawasan itu,” katanya dalam satu laporan awal sebentar tadi.
Memandangkan perjalanan pihak bomba ke lokasi kejadian mengambil masa kira-kira tiga jam dengan jarak sejauh 141 kilometer (km), operasi pencarian awal telah dijalankan oleh penduduk kampung. – K! ONLINE