KUALA NERUS – Terengganu FC (TFC) mensia-siakan peluang untuk terus mengekori pendahulu Liga Super apabila sekadar seri tanpa jaringan dengan PJ City FC pada aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini sebentar tadi.
Keputusan itu turut memaksa skuad kendalian Mohd. Nafuzi Zain turun ke tangga ketiga ekoran kemenangan 3-1 Kedah ke atas Sri Pahang FC.
Awal permainan berlangsung seimbang dengan TFC terlebih dahulu hadir menerusi percubaan leret Jordan Mintah pada minit ketiga.
Ketua pasukan PJ City, K. Gurusamy pula hampir mengejutkan tuan rumah namun gerakannya pada minit kesembilan gagal menemui sasaran.
Memasuki minit ke-34, pemain TFC, Marcel N’Guessan berjaya memasuki kotak penalti pelawat tetapi sepakannya sekadar melambung tinggi.
Kedudukan tanpa jaringan kekal sehingga rehat apabila tolakan Mintah (m-43) di depan pintu gol PJ City dihalang pertahanan lawan.
Lima minit bersambung babak kedua, TFC terus kecewa apabila hantaran lintang Faisal Abdul Halim gagal disudahkan dengan baik oleh Makan Konate.
Peluang terbaik tuan rumah menjelma pada minit ke-77 melalui rembatan deras Konate diselamatkan penjaga gol PJ City, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi.
PJ City dilihat selesa bertahan dengan sesekali melancarkan serangan balas menerusi pemain gantian, R. Kogileswaran tetapi turut tidak membuahkan hasil.
Gol dicari-cari TFC tidak kunjung tiba selepas Kalamullah cemerlang menepis rembatan jarak dekat Konate pada minit ke-90 disusuli tandukan Mintah yang terkena palang.
TFC kini mengumpul 11 mata di kedudukan ketiga manakala Kedah melonjak naik dengan 13 mata, satu mata di belakang Johor Darul Ta’zim (JDT). – K! ONLINE