fbpx

Suzuki janjikan pakej lengkap aksi GP Doha

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MIR hampir menaiki podium pada GP Qatar lalu tetapi jenteranya gagal menyaingi Ducati pada selekoh terakhir ketika perlumbaan menuju garisan penamat. – AFP

DOHA – Juara musim lalu, Joan Mir melaungkan amaran apabila Suzuki akan mempertaruhkan pakej yang lebih lengkap pada jentera GSX-RR miliknya pada perlumbaan pusingan kedua Grand Prix (GP) Doha hujung minggu ini.

Pada minggu lalu, Mir berpeluang untuk menaiki podium, namun pada selekoh terakhir, pelumba Sepanyol itu ditentang hebat oleh dua pelumba Ducati iaitu Johann Zarco (Pramac Racing) dan Francesco Bagnaia (Ducati Lenovo) di laluan lurus Litar Antarabangsa Losail.

Pada saingan tersebut, jentera Ducati Desmosedici GP21 mempunyai kelebihan di laluan lurus sekali gus menyukarkan pelumba lain untuk memintas mereka di sektor tersebut.

Bagaimanapun, Mir yakin pasukannya itu memiliki strategi berbeza dan bertekad untuk memburu podium di Qatar nanti.

“Saya sudah bersedia untuk turun pada aksi kedua di Qatar hujung minggu ini. Saya harap kami mampu meraih keputusan positif kerana Suzuki akan turun dengan pakej yang lebih lengkap.

“Kami akan meningkatkan kepantasan dan kali ini Suzuki akan lebih kuat di semua sudut secara keseluruhan. Saya akan memberikan yang terbaik dengan berusaha dan bertarung ­untuk memburu podium,” ­katanya.

Sementara itu, rakan sepasukan Mir, Alex Rins yang meng­akhiri saingan di kedudukan keenam yakin pasukannya itu akan tampil berbeza pada perlumbaan kedua di Litar Antarabangsa Losail.

“Dua aksi di litar yang sama tidak memberi masalah kepada kami. Kami tahu penambahbaikan yang perlu dilakukan sekali gus mahu mengutip mata yang lebih banyak,” kata Rins. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI