fbpx

Retorik dan realiti Laut China Selatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
WAN AZHAR WAN ABDULLAH,
PENOLONG PENGARANG BERITA

Laut China Selatan adalah nadi perdagangan global. Laut itu menjadi laluan kapal-kapal dagang membawa muatan bernilai lebih AS$5 trilion setahun selain kaya dengan sumber marin, minyak, gas dan pelbagai galian lain.

China semasa era Presiden Xi Jinping memperluaskan pengaruh dan kedudukan Beijing di zon maritim berkeluasan sekitar 3.3 juta kilometer persegi tersebut. Umum mengetahui Beijing menuntut hampir keseluruhan Laut China Selatan berdasarkan sempadan sembilan garisan putus-putus dan sejarah lampau.

Umum juga mengetahui negara-negara Asia lain turut membuat tuntutan ke atas terumbu, pulau dan laut tersebut termasuk Malaysia sekali gus menjadikan Laut China Selatan pentas konfrontasi antarabangsa.

Baru-baru ini, Beijing berkata, lebih 200 bot nelayannya terpaksa berteduh di Terumbu Whitsun akibat cuaca buruk walaupun secara terang-terangan menceroboh kedaulatan Filipina.

Terumbu itu terletak di 324 kilometer ke barat bandar Bataraza di wilayah Palawan. Manila lantang mengemukakan bantahan dan mengumumkan akan mengerahkan kapalnya. Setakat ini, belum ada perkembangan tentang perkara itu.

Seperti sebelum ini, Beijing mengetengahkan pendekatan diplomasi dengan negara-negara tetangganya berhubung isu Laut China Selatan. Namun, retorik dan tindakan Beijing jelas tidak seiring.

Walaupun nada berlembut, China telah menambak terumbu di beberapa kawasan di Laut China Selatan seperti Kepulauan Paracel, Spratly dan Terumbu Scarborough dan membina fasiliti seperti bangunan, landasan jeti serta menempatkan kemudahan dan peralatan ketenteraan termasuk peluru berpandu untuk mengukuhkan tuntutannya. Semua ini dilakukan secara senyap dan unilateral.

Keberanian Beijing menguasai sedikit demi sedikit zon maritim tersebut menerima tentangan keras Barat terutamanya Amerika Syarikat yang lantang berkata, Washington tidak mengiktiraf tuntutan Beijing di Laut China Selatan.

Malah, Amerika menyatakan, laluan tersebut adalah laluan maritim antarabangsa. Washington juga bertegas menghantar kumpulan gempur kapal induk berkuasa nuklearnya dalam rondaan bagi menegaskan kebebasan belayar di Laut China Selatan.

Mungkin, dunia melihat bantahan Washington memberi kelegaan kepada negara serantau dan melumpuhkan cita-cita Beijing menguasai Laut China Selatan.

Namun, realitinya jauh berbeza. Pada hemat penulis, tidak banyak yang dapat dilakukan Washington. Menurut Pentagon, Beijing kini memiliki armada laut paling besar di dunia walaupun bukan yang paling kuat.

Rakyat AS pula sangat alergik berhubung konflik di rantau asing hasil pengalaman perang di Afghanistan, Iraq, Syria dan beberapa wilayah lain yang dianggap langsung merugikan negara.

Sistem pemerintahan AS yang bertukar ganti juga tidak menjamin Washington akan terus komited berhubung situasi di Laut China Selatan berbanding China yang diperintah Parti Komunis. Rondaan kebebasan belayar hanyalah ‘satu pertunjukan’ yang tidak dapat mengubah status quo Beijing di Laut China Selatan. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI