fbpx

Puteri Qatar cuba takluki Everest lengkapkan ‘Explorers Grand Slam’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sheikha Asma akan memulakan pendakiannya menawan Everest pada musim bunga nanti. -AFP

 

KATHMANDU, Nepal – Seorang kerabat diraja Qatar mengejar cita-cita untuk  menjadi wanita Asia Barat pertama melengkapkan cabaran  Explorers Grand Slam dengan menawan puncak tertinggi setiap benua dan sampai ke kedua-dua kutub utara serta selatan.

Sheikha Asma Al Thani yang merupakan  seorang pendaki dan ahli Jawatankuasa Olimpik Qatar,  tiba di ibu negara Nepal, Kathmandu semalam dan bersiap sedia untuk menuju ke tempat persinggahan pertama Base Camp di Gunung Everest. 

Sheikha Asma  dijangka mendaki gunung setinggi 8,848 meter itu pada pertengahan Mei ini, bergantung kepada keadaan semasa tempatan. 

Sekiranya berjaya, Sheikha Asma akan  menjadi wanita Qatar pertama  menawan puncak tertinggi dunia itu.

Beliau mempunyai impian menakluki puncak tertinggi itu pada 2003 ketika baru berusia 14 tahun.

Ketika itu, belum ada wanita Asia Barat yang pernah tiba di puncak Everest.

Beberapa tahun selepas menyatakan hasrat tersebut, kemampuannya dipersoalkan memandangkan beliau seorang wanita.

“Ini merupakan stereotaip orang ramai terhadap wanita dan bagi saya, walau apa pun yang berlaku, kami mampu mencapai impian kami,” katanya kepada agensi berita AFP.

Wanita berusia 31 tahun itu memulakan pengembaraannya sebagai pendaki pada 2014 dengan menawan Gunung Kilimanjaro, puncak tertinggi di Benua Afrika.

Sheikha Asma juga telah mendaki Gunung Aconcagua di Argentina yang merupakan gunung tertinggi di Benua Amerika dan juga pernah meluncur di Kutub Utara.

Harapan Sheikha Asma adalah agar kejayaannya  boleh menjadi inspirasi kepada pendaki wanita lain untuk berjaya.

“Saya harap, saya bukanlah satu-satunya wanita Qatar yang mendaki Gunung Everest.

“Saya mahu wanita lain bukan sahaja menjadi pendaki gunung, namun mereka juga berani mengejar cita-cita mereka. Ia akan membuatkan saya amat gembira,” ujarnya.

Nepal sudah membuka semula sempadannya, namun para pendaki perlu dikuarantin dan dibuktikan negatif Covid-19.

Negara itu sudah mengeluarkan 151 permit pendakian beberapa gunung di Banjaran Himalaya termasuk 72 permit untuk Everest.

Kira-kira 300 pendaki luar dijangka mendaki gunung tertinggi dunia itu pada musim bunga tahun ini. -AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI