fbpx

PKP di Tawau, PKPD di tiga lokaliti di Sarawak esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Kerajaan hari ini mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di daerah Tawau, Sabah bermula esok sehingga 16 April 2021.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat bagi memudahkan Kementerian Kesihatan (KKM) melaksanakan saringan secara bersasar di lokaliti kes positif.

“Sehingga kini, secara kumulatif sebanyak 137 kes aktif telah dilaporkan yang melibatkan beberapa kluster di daerah ini dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi.

“Pelaksanaan PKP ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar di lokaliti kes positif serta mengawal pergerakan penduduk di daerah ini dan mengekang penularan jangkitan dalam komuniti,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata, sidang khas juga bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Perumahan Kilang Sungai Tenegang, Kinabatangan, Sabah bermula esok hingga 16 April ini.

“Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 290 ujian saringan dan daripada jumlah itu 33 orang didapati positif Covid-19.

“KKM mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak dalam tempoh satu minggu dengan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti adalah tinggi,” katanya.

Jelasnya lagi, pelaksanaan PKPD itu bagi memudahkan KKM melaksanakan pengesanan awal kes-kes disyaki Covid-19 supaya dapat diasingkan secepat mungkin serta mengawal penularan jangkitan dalam komuniti.

Sementara itu, kerajaan juga bersetuju melaksanakan PKPD di Kampung Baji, Sarikei, Sarawak bermula esok hingga 16 April selepas KKM mengesahkan berlaku kenaikan kes secara mendadak dalam tempoh lima hari.

“Kerajaan juga bersetuju melaksanakan PKPD di Sungai Rassau, Batang Igan, Daerah Matu, Bahagian Mukah, Sarawak bermula 3 April hingga 16 April 2021.

“Keputusan itu dibuat selepas KKM mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak dalam tempoh satu minggu dengan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti adalah tinggi,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI