KEJOHANAN Malaysia Esports Series (MES) 2021 yang memasuki pusingan kelayakan kedua bermula hari ini dijangka mencatatkan jumlah 100,000 tontonan menerusi penstriman secara langsung.
Pengerusi kejohanan MES, Muhd. Aimanulhaq Zaharudin percaya sasaran itu boleh dicapai selepas jumlah sokongan yang diterima pada pusingan kelayakan pertama selama tiga hari minggu lalu cukup positif.
Kata Aiman, sambutan diterima pada minggu pertama kejohanan MES 2021 agak baik dengan melebihi jangkaan asal sekali gus memberi keyakinan buat pihak penganjur bahawa sambutan nanti akan lebih menggalakkan.
“Rekod keseluruhan jumlah tontonan penstriman langsung pada saingan kelayakan pertama minggu lepas adalah 60,000. Ia adalah angka yang cukup baik memandangkan saingan masih lagi di peringkat kelayakan.
“Namun, kami jangka jumlah penonton menerusi penstriman langsung untuk minggu ini akan meningkat dan angka 100,000 tontonan keseluruhan adalah sangat realisitik.
“Malah, ada beberapa elemen kejutan yang cuba kami tampilkan pada sesi kali ini kerana selain hadiah cabutan bertuah, ada juga pasukan profesional e-Sukan negara, Todak akan bersaing pada aksi kelayakan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Sebagai rekod, kejohanan MES menawarkan hadiah terkumpul sebanyak RM20,000 bagi FIFA 2021, RM40,000 bagi Mobile Legends Bang Bang dan RM40,000 juga bagi permainan PlayerUnknown’s Battleground Mobile (PUBGM).
Mengulas lanjut, Aiman yang juga pengasas kepada Team Haq Esports (THQ) turut mengesahkan wakil daripada kelab miliknya juga akan bertanding untuk saingan MLBB hari ini.
“Kami telah menjalinkan kerjasama dengan satu pasukan yang cukup menarik perhatian kami pada pusingan kelayakan pertama minggu lalu tetapi gagal melangkah ke pusingan akhir.
“Justeru, kami melantik mereka untuk bernaung dalam (THQ) pada pusingan kelayakan kedua kali ini bagi bersaing dalam permainan video MLBB. Saya harap pasukan ini dapat memberikan yang terbaik,” katanya.
Sebagai rekod, lapan pasukan terbaik bagi PUBGM dan lapan pasukan untuk saingan MLBB telah mengesahkan tempat di pusingan akhir yang akan berlangsung pada 9 hingga 11 April depan.