AKSI meyakinkan pasukan Tuneboss-Pink Racing yang menamatkan saingan di tempat kelima pada perlumbaan pembukaan Kejuaraan Cub Prix di Litar Antarabangsa Sepang (Selatan) dua minggu lalu nyata mengejutkan banyak pihak.
Namun, ia bukan suatu yang mudah buat pasukan itu apabila menerima perkhabaran kurang enak ekoran enjin jentera mereka berdepan kerosakan yang agak teruk selepas perlumbaan berkenaan berakhir.
Masalah itu nyata memberikan sedikit tekanan buat mereka ketika sedang melakukan persiapan untuk bersaing pada perlumbaan kedua di Sepang hujung minggu ini.
Pelumba wanita utamanya, Siti Norafizah Muhammad yang melakukan kejutan pada pusingan pertama lalu mengakui pasukannya sedang bekerja keras untuk menyiapkan jentera semula.
“Selepas berakhir perlumbaan di Sepang tempoh hari mekanik telah melakukan pemeriksaan dan terkejut apabila berlaku kerosakan di luar jangkaan terutama pada bahagian enjin.
“Saya bernasib baik kerana mampu menamatkan saingan pada ketika itu. Jika perlumbaan masih berbaki dua pusingan, saya rasa mungkin saya gagal untuk mengutip sebarang mata.
“Ketika ini, pasukan sedang bekerja keras untuk menyiapkan kedua-dua jentera agar dapat beroperasi semula, tetapi apa yang saya boleh katakan minggu ini sedikit sukar untuk kami kerana pada Sabtu nanti barulah kami dapat menguji jentera,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Dalam pada itu Siti Norafizah percaya akan kemampuan pasukannya itu dan tidak mustahil mereka mampu melakukan kejutan sekali lagi.
“Fokus saya ketika ini untuk menaiki podium. Jika Sabtu ini jentera dapat beroperasi dengan baik saya yakin mampu memberi tentangan hebat di kelompok hadapan,” ujarnya.