ISKANDAR PUTERI – Cubaan pihak tidak bertanggungjawab menyeludup keluar 3,200 kilogram ikan kap kepala besar ke Singapura menerusi Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), semalam berjaya digagalkan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis).
Maqis dalam satu kenyataan memberitahu, cubaan itu dikesan ketika pegawainya menjalankan pemeriksaan terhadap sebuah lori pada pukul 6 pagi.
Menurutnya, pemeriksaan dibuat mendapati sejumlah 3,200 kilogram (kg) ikan kap kepala besar berada di dalam tong ikan yang melebihi daripada muatan diikrar.
“Berdasarkan permit, jumlah ikan kap berkenaan melebihi daripada kebenaran permit yang diikrarkan iaitu hanya 500 kg sahaja.
“Siasatan mendapati barangan dagangan berkenaan dianggarkan bernilai RM40,500,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, pemandu lori yang merupakan seorang lelaki tempatan berusia 50 tahun dilepaskan selepas keterangannya diambil manakala lebihan muatan iaitu 2,700 kg ikan kap ditahan.
Tambah kenyataan itu, kes disiasat di bawah Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) kerana melakukan pengisytiharan yang mengelirukan pihak berkuasa. – K! ONLINE