fbpx

Lima sekawan dicekup miliki senapang patah, peluru

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shafien (tengah) menunjukkan dua laras senapang patah bersama peluru hidup yang dirampas ketika sidang akhbar di IPD Gua Musang di sini hari ini. /FOTO AIMUNI TUAN LAH

GUA MUSANG – Lima sekawan disyaki terlibat dalam sindiket pemburuan haram ditahan pihak polis bersama dua laras senapang patah dan 46 butir peluru hidup di tepi jalan di kawasan Aring 4, di sini semalam.

Suspek berusia 25 hingga 38 tahun yang bekerja di ladang getah itu ditahan pada pukul 2.30 pagi ketika mereka menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Land Cruiser untuk memburu di sekitar kawasan ladang sawit yang terbiar.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, polis turut merampas dua bilah kerambit, 29 biji pil kuda dan satu botol air ketum di dalam kenderaan berkenaan.

Katanya, sewaktu tangkapan dijalankan, polis menemui dua laras senapang dan peluru yang dipercayai milik seorang lelaki yang juga pemilik ladang getah tempat lima sekawan berkenaan bekerja.

“Kita masih berusaha mengesan majikan mereka selepas kita dapati kelima-lima suspek tidak mempunyai sebarang lesen memiliki atau menggunakan senjata api.

“Berdasarkan keterangan daripada suspek, mereka sering memburu binatang seperti pelanduk, kijang, ayam dan kambing hutan untuk makan bersama kenalan dan ahli keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang di sini hari ini.

Menurut Shafien, rampasan itu merupakan kes kedua dilaporkan dalam tahun ini yang melibatkan pemburu haram menggunakan senjata untuk memburu di daerah ini.

Katanya, lima lelaki itu ditahan reman bermula semalam sehingga 7 April ini untuk membantu siasatan.

“Ujian saringan air kencing mendapati salah seorang daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine,” ujarnya.

Tegasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Penalti Lebih Berat 1971 dan Seksyen 8 (A) Akta Senjata Api 1960. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI