SEWAKTU mula-mula bekerja lebih 10 tahun lalu, penulis pernah dinasihatkan supaya tangguhkan niat untuk membeli kereta, sebaliknya cuba membeli rumah terlebih dahulu.
Alasannya, kereta dianggap satu liabiliti, dengan keperluan kos penjagaan, duit minyak serta tol setiap bulan, manakala nilainya akan semakin susut.
Rumah pula dianggap sebagai aset yang baik dengan nilai yang semakin meningkat setiap tahun.
Meskipun pandangan tersebut ada benarnya, seiring dengan perkembangan teknologi dan perubahan gaya hidup, kereta kini tidak lagi dianggap sebagai liabiliti, sebaliknya satu aset membantu menjana pendapatan.
Penulis mempunyai seorang kenalan yang membeli sebuah Perodua Myvi 1.5 tiga tahun lalu sebagai kereta kedua keluarga dan kenderaan tersebut kini banyak membantunya mempelbagaikan punca pendapatan.
Dia mendaftarkan kereta itu dalam sebuah platform sewa kenderaan. Mungkin disebabkan model Myvi agak popular, ia sering mendapat sewaan tinggi. Hasil sewa sahaja sudah cukup untuk menampung kos pembiayaan bulanan.
Sekiranya tidak mendapat penyewa pada hari cuti, rakan penulis ini menggunakan keretanya untuk memberi perkhidmatan e-hailing. Penatlah sedikit, namun pendapatan diterima lebih tinggi berbanding hasil sewaan.
Dalam suasana hari ini, penulis melihat banyak faktor yang menyokong pembelian kereta baharu sebagai satu pelaburan.
Kadar pembiayaan yang menarik, dengan kadar dasar semalaman berada pada paras paling rendah dalam sejarah iaitu 1.75 peratus menjadikan bayaran ansuran bulanan lebih mampu milik.
Inisiatif pengecualian cukai kenderaan oleh kerajaan yang dilanjutkan sehingga Jun 2021 pula menjadikan harga jualan kenderaan lebih murah.
Selain itu, sokongan ekosistem e-hailing dan platform sewa kenderaan yang mantap, ditambah dengan letusan perniagaan e-dagang yang menyebabkan permintaan perkhidmatan penghantaran parcel semakin meningkat, peluang terbuka luas bagi pemilik kenderaan mencari rezeki.
Pensyarah Kanan Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, bagi mereka yang berminat, terdapat beberapa pertimbangan yang perlu dibuat yang memerlukan kajian lebih mendalam.
“Pertama adalah soal pendapatan dan kos. Sejauh mana hasil diperoleh mampu menampung kos yang ditanggung?
“Sekiranya tempoh pinjaman dibuat selama sembilan tahun, unjuran hasil yang bakal diperoleh tidak boleh sama sepanjang tempoh tersebut kerana apabila kereta menjadi semakin lama dan buruk, hasil sewa yang diperoleh akan berkurangan. Kos penyelenggaraan pula meningkat.
“Kedua adalah soal lokasi dan permintaan. Pelaburan sebegini mungkin lebih sesuai bagi mereka yang tinggal di bandar besar, yang mana sentiasa ada permintaan untuk pengangkutan dan sewaan kenderaan,” katanya.
Akhir sekali dan mungkin yang paling penting katanya ialah diri kita sendiri, iaitu dari segi sikap dan kelapangan masa.
“Kalau setakat mengharapkan ada pelanggan yang menyewa kereta, ia mungkin tidak berpanjangan. Apabila kereta semakin berusia dan nilai estetikanya semakin berkurangan, pasti tidak ramai yang mahu menyewa.
“Mahu tak mahu, kita perlu rajin untuk memanfaatkan kenderaan tersebut sama ada memandu e-hailing atau menggunakannya untuk memberi servis menghantar barangan supaya pelaburan tersebut berbaloi,” katanya. -K! ONLINE