LONDON – Kerajaan Britain menyatakan hari ini bahawa ia akan menambah empat negara ke dalam senarai merah yang dilarang melakukan perjalanan ke England bermula minggu depan dengan alasan penularan ‘varian Covid-19 semakin membimbangkan’.
Jabatan Pengangkutan berkata, larangan terhadap pelawat dari Kenya, Bangladesh, Filipina dan Pakistan itu akan berkuat kuasa pada 9 April ini.
Larangan itu termasuk sesiapa yang meninggalkan negara-negara terbabit atau menjadikannya transit sepanjang 10 hari sebelumnya.
Warganegara dan penduduk tetap Britain yang melakukan perjalanan ke negara-negara tersebut pula diwajibkan menjalani kuarantin di hotel-hotel diluluskan pihak berkuasa selama 10 hari.
Menurut jabatan berkenaan, larangan tersebut dilaksanakan susulan data baharu menunjukkan risiko Britain ‘mengimport’ varian Covid-19 yang membimbangkan meningkat.
Larangan baharu itu menjadikan bilangan negara yang berada dalam senarai merah tersebut meningkat kepada 39.
Malaysia tidak berada dalam senarai merah berkenaan. – AFP