PETALING JAYA – Pemilik kediaman yang berhasrat untuk mengalihkan pepasangan termasuk meter elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) dinasihatkan untuk memaklumkan TNB terlebih dahulu.
TNB dalam satu kenyataan berkata, kebenaran TNB diperlukan sebelum melakukan pengalihan pepasangan supaya sebarang kerja yang dilakukan mengikut spesifikasi TNB dan tidak menyebabkan gangguan bekalan elektrik.
“Penglibatan diri dalam apa-apa aktiviti berhampiran pepasangan elektrik tanpa kebenaran sah termasuk tindakan mengusik atau mengalihkan kedudukan meter elektrik TNB menjadi kesalahan berdasarkan Seksyen 37 Akta Bekalan Elektrik 1990.
“Individu yang disabitkan melakukan kesalahan tersebut boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun, atau kedua-duanya,” katanya di sini hari ini.
Selain itu katanya, bagi sebarang pertanyaan berkaitan akaun dan bil, pelanggan disarankan untuk menghubungiTNB CareLine di talian 1300885454 atau e-mel kepada [email protected] atau kunjungi Kedai Tenaga yang berhampiran. – K! ONLINE