REMBAU – Dua penunggang motosikal maut selepas bertembung sesama sendiri dalam kejadian di kilometer tiga, Jalan Chembong-Ulu Kanchung, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.50 pagi itu, mangsa, Khalid Salleh, 71, dan Yunus Mohmad Latib, 26, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian susulan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.
Menurut Ketua Polis Daerah Rembau, Pemangku Deputi Superintenden, Hazri Mohamad, kemalangan berkenaan membabitkan dua buah motosikal iaitu Yamaha NMAX yang ditunggangi Khalid dan Skuter yang ditunggangi Yunus.
“Berdasarkan siasatan awal sebaik sampai di tempat kejadian dipercayai motosikal yang ditunggangi mangsa masing-masing dari arah bertentangan telah bertembung sesama sendiri.
“Kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik di lokasi kejadian,” katanya, di sini, tadi.
Hazri berkata, mangsa akan dibedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Rembau pagi ini kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.-K! ONLINE