SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi di sini, hari ini membatalkan perintah penahanan yang ditandatangani Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana tidak menggunakan nama dalam kad pengenalan (MyKad), iaitu Mahiaddin Md. Yasin.
Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Norsharidah Awang membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan habes corpus yang difailkan Awang Sari Lasikan selaku pemohon.
Sementara itu peguam Muhammad Kamil Abdul Munim yang mewakili Awang Sari, ketika dihubungi, berkata mahkamah membatalkan perintah penahanan yang ditandatangani Muhyiddin tahun lalu kerana dikeluarkan atas nama dengan nama yang diwartakan melalui Warta Kerajaan.
Katanya, perintah tahanan yang dikenakan ke atas pemohon adalah satu tahanan tanpa perbicaraan dan sebarang kesilapan utama berkaitan ejaan nama merupakan suatu ketidakpatuhan yang material bagi membolehkan satu writ Habeas Corpus dikeluarkan.
“Hari ini mahkamah memutuskan bahawa setiap keputusan eksekutif atau tindakan yang diambil oleh Perdana Menteri atau tindakan yg diambil oleh menteri dalam menjalankan tugas rasmi harus menggunakan nama tersebut seperti yang diwartakan dalam MyKad.
“Oleh itu mahkamah membenarkan permohonan habeas corpus kami,” katanya.
Selain Muhammad Kamil dari Tetuan K K Lim pasukan peguam Awang Sari turut terdiri daripada Danial Amir dan Zafran Zafri daripada Tetuan Zafri & Partners.
Pada 9 Mac 2020, Awang Sari ditahan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985.
Mereka berhujah bahawa walaupun warta menyatakan individu yang menjalankan tugas menteri dalam negeri ketika itu ialah Mahiaddin Md Yasin, namun perintah penahanan ditandatangani oleh Muhyiddin Mohd. Yassin.
Dalam prosiding itu Peguam Persekutuan Muhamad Safuan Azhar mewakili dua responden iaitu timbalan menteri dalam negeri dan penguasa kanan Pusat Pemulihan Akhlak Simpang Renggam.-K!ONLINE