fbpx

Bangkit semula selepas ditipu dalam berniaga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZURAINI tekad bangkit selepas beberapa kali ditipu pembekal saat awal memulakan perniagaan.

PENGALAMAN ditipu oleh pembekal bahan mentah hingga kerugian puluhan ribu ringgit tidak akan pernah luput dalam benak fikiran wanita cekal itu.

Bukan sekali, tapi lebih daripada dua kali ia berulang hingga membuatkan pemilik nama sebenar Zuraini Zainudin terduduk kecewa dirundung pilu mengenangkan nasib yang menimpa diri.

Lebih parah, berminggu-minggu dirinya dilanda kemurungan dan tekanan selepas wang yang dilabur kepada pembekal lebur hanya dengan sekelip mata.

“Tidak mengapalah. Saya reda dengan ujian yang menimpa diri sewaktu awal-awal mula berniaga.

“Mungkin ini bahagian untuk saya. Tuhan tahu kekuatan saya untuk menerima ujian getir ini,” tutur Zuraini saat membuka bicara bersama Aura.

Meneruskan perkongsian, wanita berusia 27 tahun itu sekali pun tidak pernah berasa putus asa apatah lagi bertindak mengangkat bendera putih tanda menyerah kalah.

Beritahunya, selepas ditipu, dia bangkit untuk terus memastikan perniagaan minuman kesihatan berjenama Haunani miliknya terus berada di pasaran.

“Pada masa itu saya tiada pilihan dan cara lain dan memutuskan untuk bekerja di negara seberang tambak, Singapura sebagai operator pengeluaran di salah sebuah kilang elektronik bagi mencari dan mengumpul semula modal yang pernah lebur.

“Saya terpaksa korbankan masa hampir setiap hari menunggang motosikal dari Kota Tinggi, Johor ke Singapura dengan kejauhan hampir 60 kilometer (km) sehala dan 120km sehari untuk perjalanan pergi dan balik.

“Pada masa itu saya langsung tidak kenal erti penat apatah lagi merungut mengalah. Niat saya cuma satu, untuk pastikan perniagaan yang saya bangunkan dapat diteruskan dan tidak berkubur begitu sahaja,” ujarnya penuh emosi.

Jelas pengasas kepada syarikat Zues Legacy itu, berkat kesabaran tanpa kenal istilah jemu, dia berjaya mengumpul sejumlah wang untuk dijadikan modal meneruskan perniagaan.

 

UJAR Zuraini, ibu dan keluarganya menjadi pendorong kepada kejayaannya hingga ke hari ini.

Ceritanya, dia turut bersyukur kerana dikurniakan seorang rakan kongsi yang banyak memberikan sokongan dan bantuan dalam apa jua perkara yang dilakukannya hingga kini.

Ditebak mengenai sumber kekuatan dan inspirasinya, Zuraini lantas memberitahu ibunya, Rosnani Hassan, 51, merupakan individu tersebut.

“Kenapa ibu? Sejak saya berumur lima tahun ibu saya sudah bergelar ibu tunggal dan daripada situ saya nampak pengorbanan dan susah payahnya membersarkan kami empat beradik.

“Dia hanya kerja kilang. Dari pagi sampailah malam. Sebelum ke kilang, ibu sempat membantu kakaknya memasak lauk-pauk di kantin seawal subuh untuk pekerja kilang papan di kampung saya,” katanya.

Menyentuh sedikit mengenai Haunani Beauty Drink keluaran syarikatnya, Zuraini menyatakan proses kajian dan pembangunan (R&D) produk dilakukan sejak 2015 sebelum ia dipasarkan bermula tahun lalu.

GADIS kelahiran Kota Tinggi, Johor ini tidak pernah kenal erti jemu apatah lagi menyerah kalah dalam usaha membangunkan perniagaan yang diasaskan.

Zuraini memberitahu, pihaknya juga membuka peluang kepada mana-mana individu tanpa mengira status bagi menjana pendapatan menerusi pendaftaran sebagai ejen mahupun pengedar.

“Buat masa ini kami sudah mempunyai ejen di negeri selatan dan utara tanah air termasuk di Singapura dan akan bertambah bilangannya dari semasa ke semasa.

“Bagi mereka yang berminat, boleh terus layari Facebook atau Instagram Haunani Beauty Hq atau hubungi talian 013-770 6004,” ujarnya yang merancang untuk menembusi pasaran Brunei dan Indonesia tidak lama lagi. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI