BAKATNYA mula digilap bermula sejak tahun 2015 selepas muncul bersama kumpulan rap De Fam.
Kini, namanya tidak lagi asing dalam industri seni tanah air dan terus bersinar memahat jenamanya sebagai pengacara, pelakon dan penyanyi.
Masakan tidak, wajah si pemilik nama lengkapnya Azira Shafinaz Ramlan itu kerap kali dilihat dalam pelbagai program hiburan, drama mahupun filem.
Enggan menoleh lagi, wanita berusia 30 tahun yang mesra disapa sebagai Azira itu mahu terbang lebih tinggi melebarkan sayapnya sebagai aktres.
Terbaharu, dia muncul sebagai heroin dalam filem Penunggang Agama arahan Syafiq Yusof.
Penunggang Agama
Sejak telefilem tersebut ditayangkan dalam saluran Astro First bermula 25 Mac lalu, pelbagai reaksi positif diterima anak kelahiran Kuala Lumpur itu.
Memegang watak sebagai Ustazah Anna, Azira mengakui karakter tersebut antara yang paling sukar pernah dilakonkannya.
Dalam karya terbitan Skop Production Sdn. Bhd. dan Astro Shaw tersebut juga, watak Anna memerlukannya menghafal dan menzahirkan bacaan doa dan ayat suci al-Quran.
“Saya akui terdetik rasa risau dan gentar dalam diri ketika ditawarkan watak ini. Dialognya agak berat dan memerlukan saya menghafal serta membaca ayat al-Quran.
“Mujurlah sepanjang tempoh pengambaran, saya dibantu seorang guru khas yang membimbing dan memperbetulkan bacaan ayat al-Quran saya.
“Jujurnya, saya sangat berhati-hati dalam hal ini sebab jika berlaku kesilapan, pasti akan jadi isu yang sangat sensitif pada mata penonton,” ujarnya kepada HibGlam usai majlis tayangan perdana Penunggang Agama baru-baru ini.
Sedar kekurangan diri, pengacara Vokal Mania itu sangat bersyukur kerana ada individu yang membantu memperbetulkan bacaannya.
“Setiap surah dalam al-Quran membawa maksud tersendiri. Walaupun ada pilihan, saya pilih yang selesa dan mudah dibaca, risau juga salah sebut sebab tidaklah terlalu mahir dalam hal-hal sebegini.
“Alhamdulillah, hasilnya memuaskan hati walaupun awalnya fikir banyak kali juga hendak terima tawaran ini,” tuturnya yang pernah popular menerusi drama Seribu Rindu sekitar 2018.
Dia juga melahirkan rasa teruja apabila berpeluang bergandingan dengan beberapa pelakon hebat seperti Zul Ariffin, Datuk Jalaluddin Hassan dan Nasir Bilal Khan dalam telefilem tersebut.
“Pengalaman bekerja sama dengan mereka memang sudah lama saya nantikan.
“Banyak ilmu yang saya timba daripada mereka. Bila fikir semula, rasa bersyukur sangat Syafiq beri saya peluang ini,” ungkapnya teruja.
Perbaiki diri
Apabila memegang watak ustazah dan berhijab, Azira juga tidak terlepas daripada ditebak soalan tentang kesediaannya untuk bertudung.
Ungkapnya, dia mahu memperbaiki diri dan amalan terlebih dahulu sebelum benar-benar mengubah penampilannya ke arah lebih islamik.
“Saya tidak nafikan naluri untuk bertudung pernah terdetik dalam hati tetapi apabila difikirkan semula, saya belum bersedia. Sebaiknya saya perlu perbaiki diri dulu.
“Saya orang Islam dan pasti mahukan yang terbaik untuk diri, doakan agar saya mengikut jejak langkah Cik Manggis. Cuma kalau boleh, saya tidak mahu perubahan tersebut berlaku secara drastik,” katanya.
De Fam
Bercerita sedikit tentang perkembangan De Fam yang turut dianggotai oleh Cik Manggis dan Sophia Liana, Azira berkata kumpulannya kini dalam fasa berehat.
Fasa tersebut bagi memberi masa untuk mereka meneliti semula haluan baharu mengikut kesesuaian imej Cik Manggis yang kini bertudung.
“Sehingga hari ini, ramai yang bertanya sama ada De Fam masih wujud atau tidak. Jangan risau, kami masih ada cuma dalam tempoh on hold.
“Kami perlu memikirkan konsep dan muzik yang lebih sesuai dan segar serta mengikut kesesuaian penampilan Cik Manggis,” ujarnya mengakhiri perbualan.