fbpx

Azilah sanggup tahan sakit demi bantu Johor Jewels

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PASUKAN Johor Jewels akan menentang Selangor Angels habis-habisan untuk mendapatkan status sebagai juara Kumpulan B pada Ahad ini.

KAPTEN Johor Jewels, Noor Azilah Aziz sedia bertarung de­ngan kesakitan lutut yang dialami ketika ini semata-mata mahu membantu pasukannya menewaskan Selangor Angels dalam aksi terakhir Kumpulan B Netball Super League (NSL) pada Ahad ini.

Azilah, 23, sanggup mengerah segala keringatnya bagi memastikan Johor bergelar juara edisi pertama NSL meskipun dia terpaksa berehat panjang menjalani proses pemulihan dan rehabilitasi sepanjang tahun ini.

“NSL mungkin kejohanan terakhir tahun ini kerana saya mahu fokus untuk proses pemulihan. Apa-apa pun saya perlu dengar nasihat doktor dahulu selepas menjalani MRI (Pengimejan Resonans Magnetik) pada Sabtu ini (esok).

“Selepas MRI baru boleh tahu tahap kecederaan lutut kiri saya sama ada meniskus atau ACL (Anterior Cruciate Ligament). Tunggu keputusan MRI dahulu, namun 70 peratus saya mungkin main juga Ahad ini.

“Buat masa sekarang, kita balut dulu apa yang boleh diba­lut kerana fokus bantu Johor capai sasaran. Ini adalah edisi pertama NSL, jadi semua orang termasuk saya teruja dan sudah tentu mahu bantu Johor bergelar juara,” katanya.

Johor semestinya mengharapkan Azilah dapat kembali beraksi selepas tonggak kebangsaan itu sudah terlepas tiga perlawanan Kumpulan B disebabkan kece­deraan lutut yang dialami ketika pusingan pertama menentang Selangor pada 19 Mac lalu.

Pemain yang boleh beraksi sebagai goal defend dan goal keepe­r itu menegaskan, Johor perlu memastikan kemenangan ke atas Selangor jika mahu melangkah ke separuh akhir sebagai juara Kumpulan B sekali gus mence­rahkan peluang ke final.

“Selangor memiliki kelebihan jika ikut jurang gol. Tak perlu pe­ning-pening, kami perlu menang kalau nak memudahkan perjalanan ke separuh akhir. Ia supaya kami tidaklah terlalu tertekan dalam usaha ke final,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI