PEKAN – Seramai 643 peserta di tiga Rancangan Tanah Kelompok (RTK) di daerah ini menerima berita gembira apabila bakal mendapat ‘duit raya’ tidak lama lagi.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, setiap peneroka dijangka menerima RM500 daripada Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) sempena kedatangan bulan Ramadan pertengahan bulan ini dan sambutan Aidilfitri bulan depan.
“Ini bermakna semua peserta Felcra dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bebar bukan sahaja menerima satu berita gembira berkenaan surat hak milik masing-masing hari ini, bahkan juga pihak Felcra bersetuju untuk memberi duit raya kepada mereka.
“Sudah pasti semua ini boleh dilaksanakan apabila kita mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh dan kerajaan negeri yang stabil dan akhirnya setiap apa yang kerajaan dapat, kita boleh kembalikan semula kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Suratan Hak Milik RTK Serambi, Padang Rumbia dan Pulau Rumput di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah, di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd. Ariff dan Pengurus Besar Felcra Berhad Wilayah Pahang, Nor Zahari Zakaria.
Pada majlis itu, seramai 470 daripada 643 peserta Felcra menerima surat hak milik mereka dan bakinya akan menerima surat hak milik masing-masing secara berperingkat.
Mengulas mengenai surat hak milik yang diterima pula, jelasnya, kebanyakan peserta Felcra telah menanti kira-kira 14 tahun untuk mendapatkan surat berkenaan.
“Untuk hari ini, kita serahkan dahulu kepada 470 peserta dari RTK Serambi, Padang Rumbia dan Pulau Rumput manakala baki peserta akan menerima surat hak itu pada 10 April ini yang akan disampaikan bekas Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak,” ujarnya. -K! ONLINE