fbpx

2 maut, kenderaan terbabas rempuh tiang elektrik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Beginilah keadaan kereta Perodua Myvi dan motosikal KTM Duke yang terlibat dalam kemalangan malam tadi.

KLUANG – Dua lelaki terbunuh dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 9 Jalan Kluang-Teck Wah Heng, di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.59 malam itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Marzuki Abu Bakar, 38 selaku penunggang motosikal dan pemboncengnya, Mohamad Farid Ismail, 40.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Law Hang Seng berkata, motosikal jenis KTM Duke yang dinaiki kedua-dua mangsa telah dirempuh kereta Perodua Myvi yang dipandu Muhamad Izwan Zailani, 32.

Menurutnya, polis menerima panggilan mengatakan satu kemalangan maut telah berlaku melibatkan sebuah kereta dengan dua buah motosikal.

“Hasil siasatan awal mendapati, motosikal dinaiki kedua-dua mangsa menghala ke arah Renggam. Sebaik tiba di tempat kejadian, kereta Perodua Myvi cuba mengelak kenderaan yang memotong dari arah bertentangan.

“Tindakan itu menyebabkan kereta berkenaan gagal mengelak lalu merempuh motosikal dinaiki kedua-dua mangsa, akibatnya kedua-dua kenderaan terbabas hingga merempuh tiang elektrik dan papan tanda di tepi jalan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jelasnya, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi penunggang motosikal yang terlanggar tiang elektrik yang melintang di tengah jalan akibat kemalangan itu, tidak dapat dikesan.

“Pemandu kenderaan itu kemudiannya datang ke Balai Trafik Kluang untuk membuat laporan polis manakala seorang lagi penunggang motosikal yang terbabit dalam kemalangan itu tidak dapat dikesan,” katanya.

Ujarnya, bedah siasat akan dijalankan esok dan pemandu kereta tersebut kini ditahan untuk membantu siasatan.

Katanya, ujian saringan air kencing yang dilakukan terhadap pemandu kenderaan didapati negatif dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI