GEORGE TOWN – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHAINPP) membenarkan aktiviti mengimarahkan masjid dan surau sepanjang Ramadan ini termasuk solat tarawih serta moreh.
Pengarahnya, Mohd. Zakuan Zakaria berkata, pelaksanaan semua aktiviti tersebut perlu dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan garis panduan yang dikeluarkan untuk pelaksanaan aktiviti keagamaan pada bulan Ramadan itu akan berkuatkuasa mulai 12 April ini.
“Solat tarawih dibenarkan dilakukan sebanyak 20 rakaat, namun bagi memastikan tempoh berkumpul tidak terlalu lama pihak masjid dan surau boleh melaksanakannya sebanyak lapan rakaat.
“Kadar bilangan jemaah adalah mengikut kapasiti masjid dan surau manakala jemaah hendaklah berusia tujuh hingga 70 tahun sahaja serta berada dalam keadaan sihat.
“Bagaimanapun, tazkirah semasa solat sunat tarawih adalah tidak dibenarkan dan imam serta bilal perlu meringkaskan bacaan zikir, selawat serta doa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya program qiamullail di masjid dan surau juga dibenarkan manakala bermalam di masjid adalah dilarang sama sekali.- K! ONLINE