fbpx

Sembilan kes varian South African B.1.351

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) mengesahkan kewujudan varian South African B.1.351 di Malaysia dengan sehingga semalam, sebanyak sembilan kes telah dikenal pasti daripada jangkitan tempatan.

Penemuan varian tersebut pertama kali dilaporkan di dunia pada Disember lepas di United Kingdom (UK) dan Afrika Selatan manakala, sejak awal tahun ini, kewujudannya turut dilaporkan oleh negara-negara lain termasuk Amerika Syarikat, Kanada, Jerman, Australia dan Korea Selatan.

 Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sehingga kini analisis filogenetik serta hubung kait geografi menunjukkan kebarangkalian kes tersebut di Malaysia daripada punca jangkitan yang sama.

“Kewujudan varian South African B.1.351 mula dikenal pasti dalam kalangan empat kes tempatan pada Mac dan siasatan awal mendapati, keempat-empat kes tersebut mempunyai kaitan lokasi geografi dan berhubung rapat dengan Kluster Jalan Lima seperti ditunjukkan dalam analisis filogenetik.

“Dua kes dipercayai daripada Kluster Jalan Lima yang merupakan pekerja di salah sebuah syarikat berpangkalan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, bagaimanapun, cara penularan atau jangkitan varian B.1.351 kepada kes tersebut sukar untuk dikenal pasti dan disahkan.

“Satu kes pula adalah daripada Kluster Kebun Baru dan satu kes lagi adalah merupakan ahli keluarga kepada kes positif Covid-19 yang tinggal serumah,” katanya.

Noor Hisham berkata, susulan daripada penemuan pertama varian B.1.351 tersebut, lebih banyak ujian jujukan genom telah dijalankan dengan menggunakan sampel positif Covid-19 dari lokasi geografi termasuk Kuala Langat dan Sepang.

“Hasil ujian yang dijalankan menunjukkan terdapat lima kes lagi dikesan daripada lokaliti ini yang telah dijangkiti dengan varian tersebut. Empat kes adalah daripada Kluster Kebun Baru dan satu kes adalah daripada Kluster Jalan Lima,” katanya.

Tambah beliau, varian B.1.351 didapati mempunyai pelbagai mutasi ‘spike protein’ termasuk L18F, D80A, D614G, D215G, A701V, K417N, E484K, N501Y and L241_A243del, namun ia tidak mempunyai mutasi H69_V70del seperti yang terdapat pada varian UK B.1.1.7.

“Analisis jujukan genom juga menunjukkan kebarangkalian asal-usul jangkitan daripada kes positif Covid-19 melibatkan pekerja di salah sebuah syarikat berpengkalan di KLIA berdekatan dengan kawasan Sepang diikuti penularan jangkitan ke kawasan penduduk tempatan di Kuala Langat,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI