TAIPEI – Seorang wanita di bandar Changhua, Taiwan didakwa memotong alat kelamin teman lelakinya dan ‘melupuskan’ bahagian tubuh tersebut ke dalam lubang tandas, lapor portal Mothership hari ini.
Wanita berusia 40 tahun dan berasal dari Vietnam itu menyerah diri kepada polis kerana menyesal melakukan perkara tersebut.
Pada kejadian kira-kira pukul 11 malam kelmarin, mangsa, Huang, 52, hanya menyedari perbuatan kekasihnya selepas bahagian sulitnya berasa sakit sebaik sahaja dia bangun tidur.
Difahamkan suspek menggunakan gunting dan melakukannya ketika mangsa sedang tidur nyenyak kerana mengesyaki teman lelakinya telah berlaku curang.
Ketika polis serta pasukan paramedik tiba di lokasi kejadian dan bertanya mengenai bahagian sulit tersebut, suspek mengatakan ia telah dibuang ke dalam tandas.
Sepasang selipar berdarah turut dijumpai di luar rumah.
Menurut Huang dia ‘pengsan’ selepas makan mi ayam yang dicampur wain Huadio.
Ia merupakan wain yang biasa digunakan dalam masakan Cina dan mempunyai peratusan alkohol kira-kira 16 peratus.
Polis turut menyiasat teman wanita mangsa berhubung makanan tersebut.
Huang yang kehilangan banyak darah telah dihantar ke hospital untuk prosedur pembedahan bagi memperbaiki saluran kencingnya.
Jurucakap hospital berkata, insiden tersebut tidak mengancam nyawa mangsa.
Namun alat sulit Huang hanya tinggal 20 peratus iaitu kira-kira 1.5 sentimeter memandangkan bahagian yang dipotong tidak dapat ditemui dan disambung semula. – Agensi