fbpx

Pemandu teksi ditawar jadi penghantar makanan e-bazar Ramadan, e-kitchen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AMIRUDIN (kiri) menyerahkan sumbangan bakul makanan kepada salah seorang pemandu teksi sambil diperhatikan oleh Rodziah (dua kiri) sempena majlis pengagihan bakul makanan kepada pemandu teksi dan bas di Bangunan SUK Selangor hari ini. - Foto oleh NORHAYATI YAHAYA

SHAH ALAM – Kerajaan negeri berhasrat untuk menjadikan pemandu teksi yang berdaftar di negeri itu untuk menjadi penghantar barang dan makanan menerusi e-bazar Ramadan dan e-kitchen.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Selangor, Rodziah Ismail berkata, usaha itu diambil bagi membantu meningkatkan ekonomi seramai kira-kira 6,319 pemandu teksi yang berdaftar dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) di negeri itu.

Katanya, pihak kerajaan negeri akan membantu golongan ini dengan memberikan latihan menggunakan perkakas yang menghubungkan antara mereka dengan penjaja dalam lingkungan radius dua kilometer.

“Kerajaan negeri mempunyai pelbagai program dan bantuan untuk membantu rakyat terutama pada masa pandemik Covid-19 ini namun apabila kami melihat dalam tempoh jangka panjang, kita fikir sesuatu perlu dibuat untuk membantu mereka mendapatkan wang tambahan bulanan.

“Kita mempunyai e-bazar Ramadan dan e-kitchen, jadi kita mahu panggil pemandu teksi ini untuk menjadi e-hailing, kita bekalkan gajet untuk mereka menghantar pesanan dan sekali gus mereka boleh menambah pendapatan,” katanya ketika berucap pada majlis pengagihan bakul makanan kepada pemandu teksi dan bas sekolah di Bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) Selangor hari ini.

Majlis itu dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.

Sementara itu, Rodziah memberitahu, program di bawah Bingkisan Mesra Selangor itu akan mengagihkan sebanyak 7,900 bakul makanan membabitkan jumlah RM1.4 juta kepada semua pemandu teksi dan bas menerusi agensi-agensi kerajaan negeri terutamamya 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu secara berperingkat.

Ujarnya, proses pengagihan pertingkat pertama dijangka memberi manfaat kepada 3,571 penerima menjelang Ramadan iaitu seramai 1,045 penerima di Majlis Perbandaran Selayang, Majlis Perbandaran Kajang (870), Majlis Perbandaran Klang (441), Majlis Perbandaran Kuala Langat (336) dan Majlis Perbandaran Sepang (124).

“Seramai 490 penerima lagi adalah di Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Majlis Daerah Sabak Bernam (31) dan Majlis Daerah Kuala Selangor (234) yang disampaikan secara berperingkat bermula 3 hingga 11 April nanti.

“Bagi PBT lain seperti Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Bandaraya Subang Jaya, Majlis Bandaraya Shah Alam dan Majlis Daerah Hulu Selangor, pengagihan bakul makanan itu akan diberikan mengikut PBT masing-masing,” katanya. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI